KM Sarawak nafi laporan berita DUN bubar hari ini 


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menafikan laporan berita Dewan Undnagan Negeri dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.– Gambar The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg menafikan laporan berita Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri. 

“Saya terkejut membacanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman SADA) di pekan Simanggang, kira-kira 132 kilometer dari Kuching, pagi ini. 

“Bagaimana kamu tahu mengenainya?” katanya kepada pemberita yang meminta pengesahan. 

“Bila pilihan raya diadakan? Saya tidak tahu kerana ia bukan bidang kuasa saya. 

“Itu kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Tempoh penggal dewan undangan negeri itu tamat pada 6 Jun dan dibawah perlembagaan negeri, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. 

Bagaimanapun, perintah darurat diisytiharkan bagi mengekang penularan Covid-19 menyebabkan pilihan raya dan sidang DUN ditangguhkan. 

Pilihan raya masih ditangguhkan selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos namun darurat untuk Sarawak diisytiharkan sehingga Februari tahun depan.

“Belum pilihan raya lagi. Tunggu sahaja. Saya juga menunggu.”

Ketua menteri berkata spekulasi berhubung perkara itu mungkin disebabkan beliau menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Memang saya menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Saya hanya tanya mengenai darurat.

“Kami bincangkan mengenai Covid. Itu sahaja yang saya tanya dan bincangkan. Tiada perkara lain.”

Semalam, The Borneo Post memetik sumber yang boleh dipercayai melaporkan sidang DUN Sarawak akan dibubarkan hari ini dan pilihan raya akan diadakan pada 27 November.

The Star turut melaporkan Abang Johari dijangka akan mengadakan sidang media khas berhubung pembubaran itu hari ini.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan hari ini berkata “tidak ada pertemuan seperti itu (berhubung pembubaran) yang dijadualkan sekarang atau esok sebagaimana yang dilaporkan”. – 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen