Tiada varian Covid Lambda, MU di Malaysia, kata Khairy 


Elill Easwaran

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata langkah yang perlu telah diambil bagi mengekang penularan varian baharu Covid-19 di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan masih belum mengesan varian Covid-19 Lambda atau MU di Malaysia setakat 6 Oktober, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. 

Varian ini tidak dikesan menerusi penjujukan genom yang dijalankan, katanya. 

“Terdapat 2,252 kes dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan (VOC) dan varian dibawah pemantauan (VUM),” kata Khairy dalam jawapan bertulis kepada senator Donald Peter Mojuntin di Dewan Negara semalam. 

Tambahnya daripada keseluruhan kes yang dikesan, 2,232 adalah VOC manakala 20 kes adalah varian mempunyai kepentingan (VOI), yang mana 1,996 kes adalah varian Delta. 

Khairy berkata langkah perlu telah diambil bagi mengekang penularan varian baharu Covid-19 di negara ini. 

“Salah satu langkah yang diambil adalah mempertingkatkan kawalan kemasukan pengembara di pintu masuk antarabangsa negara selepas penilaian risiko dijalankan di negara berisiko tinggi. 

“Kita hanya membenarkan pengembara yang disahkan negatif Covid-19 masuk dengan laporan ujian RT-PCR dibuat tiga hari sebelum ketibaan,” katanya.

Katanya bagi meningkatkan kapasiti penjujukan genom, satu konsortium ditubuhkan terdiri daripada lapan maklmal di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains dan Teknologi dan institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang bergejala agar menjalani ujian saringan kendiri di pusat perubatan untuk pengesanan awal agar langkah mengawal dan mencegah boleh diambil secepat mungkin untuk mengelakkan penularan di sesuatu kawasan.   

Setakat semalam, Malaysia merekodkan 5,516 kes Covid-19. 

Lembah Klang – terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – merekodkan 1,198 kes daripada jumlah keseluruhan. 

Manakala Kuala Lumpur merekodkan 189 kes dan lima di Putrajaya. 

Negeri lain dan wilayah persekutuan yang merekodkan kes baharu semalam adalah Johor (610), Kedah (312), Kelantan (565), Melaka (112), Negeri Sembilan (127), Pahang (232), Perak (393), Perlis (29), Pulau Pinang (378), Sabah (426), Sarawak (767), Terengganu (355) dan Labuan (12). – 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen