RM4.64 bilion untuk beli vaksin Covid-19 dan logistik, kata Khairy


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menempah 87.9 juta dos vaksin melalui fasiliti Covax dan secara rundingan terus dengan beberapa pengeluar vaksin Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

KERAJAAN membelanjakan RM4.64 bilion bagi menampung kos pembelian dan logistik vaksin Covid-19 setakat 1 September tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan menempah 87.9 juta dos vaksin melalui fasiliti Covax dan secara rundingan terus dengan beberapa pengeluar vaksin Covid-19.

“Dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia telah menerima sumbangan vaksin Covid-19 sebanyak 2.91 juta dos daripada Jepun (998,400 dos vaksin AstraZeneca),
Amerika Syarikat (1,000,350 dos vaksin Pfizer), China (500,000 dos vaksin Sinovac) dan United Kingdom (AstraZeneca sebanyak 415,000 dos vaksin AstraZeneca),” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara semalam, yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.

Putrajaya juga dijangka menerima sumbangan daripada Singapura dan Arab Saudi, yang mana masih dalam peringkat perbincangan, tambah beliau.

Khairy menjawab pertanyaan Senator Suresh Singh Rashpal Singh yang mahu tahu jumlah kos kerajaan belanjakan untuk membeli vaksin sehingga 1 September tahun ini.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata kerajaan akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan yang menolak suntikan vaksin Covid-19. – 21 Oktober, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen