64% Orang Asli sudah disuntik vaksin Covid-19, kata Khairy


Elill Easwaran

Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan di kalangan masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksinasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

SEBANYAK 92,186 atau 64% Orang Asli di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 10 Oktober, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin.

“Empat jenis vaksin digunakan iaitu Pfizer, Sinovac, Cansino dan AstraZeneca semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di kalangan masyarakat Orang Asli,” kata Khairy kepada Dewan Negara dalam jawapan bertulis kepada Senator Isa Ab Hamid semalam.

Menurutnya, vaksin Cassino sangat membantu meluaskan pemberian imunisasi Covid-19 di kalangan masyarakat Orang Asli.

“Ini kerana ia hanya memerlukan satu dos sahaja dan memudahkan masyarakat Orang Asli mendapat vaksin lengkap,” katanya.

Beliau menambah yang Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan di kalangan masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksinasi.

“Antaranya adalah kolaborasi dengan NGO dan universiti tempatan dalam menyediakan material pendidikan kesihatan mengenai vaksinasi.

“Ini termasuk penyediaan poster dalam dialek mereka, promosi vaksin melalui personaliti berpengaruh di kalangan masyarakat Orang Asli, menghasilkan video pendek yang mempromosikan vaksinasi dalam dialek mereka dan pertandingan video melalui aplikasi ‘Tik-Tok’ yang berkaitan dengan kepentingan dan faedah vaksin,” kata Khairy.

Beliau menambah terdapat juga kerjasama dengan pemimpin masyarakat, iaitu Tok Batin dan masyarakat Orang Asli tempatan untuk membuat mereka memahami kepentingan vaksin.

Malaysia sudah memvaksinasi 71.2% penduduk selepas 256,497 dos vaksin diberikan semalam.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19, sebanyak 25,285,399 individu atau 77.4% penduduk kini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Kementerian Kesihatan melalui laman web CovidNow mengunjurkan 80% daripada jumlah penduduk akan diberi vaksin lengkap pada 17 Disember. – 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen