AS beri bantuan RM3.3 juta tangani Covid-19 


AMERIKA Syarikat (AS) mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM3.3 juta (AS$800,000) kepada Malaysia bagi membantu Putrajaya menangani Covid-19.

Kedutaan AS di Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata dana itu akan digunakan bagi membantu usaha Malaysia memvaksin golongan yang sukar dicapai dan golongan rentan.

“Ia juga akan menyokong kemudahan kuarantin yang selamat untuk komuniti ini, membantu melindungi Malaysia dari Covid-19 dan membantu memastikan pemulihan ekonomi Malaysia terus maju,” kata kedutaan.

Dana itu akan disalurkan melalui Bulan Sabit Merah Malaysia yang akan melaksanakan bantuan ini di Malaysia.

“Malaysia melakukan yang terbaik dalam memvaksin penduduknya, dan dengan bantuan tambahan ini akan memudahkan lagi usaha untuk membantu komuniti dan membantu untuk memastikan negara selamat,” kata duta AS ke Malaysia Brian D. McFeeters.

Jumlah itu merupakan tambahan kepada lebih AS$2 juta bantuan Covid-19 yang disalurkan AS kepada Malaysia sejak pandemik bermula.

Pada 5 Julai, AS mendermakan lebih satu juta dos vaksin Pfizer kepada Malaysia dan peralatan perubatan, kit ujian Covid-19, ambulans dan lain-lain.

Komuniti perniagaan AS di Malaysia, menerusi MYAMCHAMCares turut menyalurkan sumbangan lebih RM7 bilion untuk usaha menangani Covid-19 sejak 2020.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Buolan Sabit Merah Malaysia Tunku Puteri Intan Safinaz berkata dana USAID penting dalam usaha menyelamatkan rakyat daripada wabak ini terutamanya golongan rentan.

“Kami berusaha mencapai jarak terakhir dalam usaha vaksinasi kami di seluruh negara dan kita harus ingat bahawa tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat.

“Covid-19 tidak mengenal bangsa, agama, etnik, atau kewarganegaraan. Terima kasih kepada Duta Besar McFeeters dan USAID kerana menyokong usaha Bulan Sabit Merah Malaysia,” kata Tunku Puteri Intan Safinaz, yang juga Tunku Temenggong Kedah. – 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen