Israel kesan mutasi varian Delta


Varian AY 4.2 itu dikesan pada seorang budak lelaki berusia 11 tahun dari Eropah, yang tiba di lapangan terbang Ben Gurion di Tel Aviv. – Gambar AFP, 21 Oktober, 2021.

ISRAEL mengenal pasti sejenis mutasi varian Delta yang sebelum ini dilapor dikesan di beberapa negara Eropah, kata kementerian kesihatan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan semalam berkata varian AY 4.2 itu dikesan pada seorang budak lelaki berusia 11 tahun dari Eropah, yang tiba di lapangan terbang Ben Gurion di Tel Aviv. 

Kanak-kanak itu kini sedang dikuarantin, katanya.

Beberapa kes membabitkan varian AY 4.2 sebelum ini dikesan di United Kingdom.

Perdana Menteri Israel Naftali Bennett semalam mengadakan mesyuarat tergempar dengan para pegawai kementerian kesihatan.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya semalam, Bennett telah mengarahkan pasukan pakar epidemiologi menjalankan siasatan dengan kerjasama negara di mana varian AY 4.2 dikesan.

Varian itu dikesan ketika Israel sedang menimbang untuk melonggarkan lagi sekatan bagi sektor pelancongan.

Israel sebelum ini menangguhkan rancangan untuk membuka semula sempadan susulan lonjakan kes membabitkan varian Delta.

Varian Delta adalah varian Covid-19 yang paling mudah berjangkit setakat ini. – AFP, 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen