Presiden Ecuador enggan beri keterangan siasatan Kertas Pandora


Presiden Ecuador Guillermo Lasso disiasat susulan pendedahan Kertas Pandora. – Gambar EPA, 21 Oktober, 2021.

PRESIDEN Ecuador Guillermo Lasso yang disiasat susulan pendedahan Kertas Pandora semalam enggan memberi keterangan kepada jawatankuasa parlimen.

Jawatankuasa yang didominasi pembangkang itu semalam bersidang untuk menyiasat aktiviti Lasso, 65, yang didedah menyimpan aset di pusat-pusat kewangan luar pesisir.

Awal bulan ini, International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) membocorkan sejumlah dokumen atau dipanggil Kertas Pandora, yang menyenaraikan akaun luar pesisir melibatkan tokoh politik, ahli perniagaan dan selebriti terkemuka dunia.

Kertas Pandora mendedahkan Lasso, yang juga bekas pegawai bank, menguasai 14 syarikat luar pesisir kebanyakannya di Panama. Lasso menutup syarikat-syarikat berkenaan bekas presiden Rafael Correa (yang memerintah dari 2007 hingga 2017) melarang mana-mana calon presiden memiliki aset luar pesisir.

Seramai 105 darpada 137 ahli Parlimen menuntut Lasso disiasat bagi menentukan sama ada beliau telah melanggar undang-undang Ecuador.

Lasso dalam satu kenyataan berkata beliau berhak untuk mengetahui mengenai bukti-bukti lain yang dikemukakan sebelum memberi keterangan kepada jawatankuasa siasatan.

Isteri dan anak lelakinya juga enggan memberi keterangan.

“Saya tidak pernah melanggar undang-undang,” katanya.

Semua aktiviti pelaburan di luar negara dibuat secara sah, dan syarikat-syarikatnya ditutup bagi membolehkan beliau layak bertanding dalam pilihan raya, tambah Lasso. – AFP, 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen