Pegawai SPRM ditahan disyaki edar dadah, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Seorang pegawai SPRM yang disiasat berhubung kehilangan wang tunai AS$6 kini ditahan untuk siasatan jenayah mengedar dadah, kata polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

SEORANG daripada tiga pegawai agensi antirasuah yang disiasat berhubung kehilangan wang tunai AS$6 juta atau bersamaan RM25 juta barang kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini ditahan untuk siasatan jenayah mengedar dadah, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain berkata pegawai itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Pegawai itu dipercayai terlibat mengedar dadah sejak tahun lalu. Dia ditahan 60 hari untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau menjelaskan suspek mungkin tidak akan ditahan untuk tempoh itu tetapi sehingga siasatan selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada bahagian undang-undang Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.

Menurut Razarudin, suspek yang sebelum itu disiasat oleh SPRM pada mulanya ditahan polis kerana memiliki dadah jenis Eramin 5. Ujian air kencing terhadapnya juga mendapati dia positif dadah, susulan laporan yang dibuat oleh SPRM.

Suspek ditahan bersama dua lelaki yang juga didapati positif dadah, katanya.

“Mereka adalah saksi kes ini,” tambahnya.

Suspek yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ditahan kerana memiliki dadah, senjata api dan peluru pada 21 September lalu.  Dadah berkenaan ditemui di dalam pejabatnya.

Suspek itu antara tiga pegawai SPRM yang ditahan selepas disiasat berhubung kehilangan barang kes membabitkan wang tunai ASD$6 juta (RM25 juta).

SPRM kemudian mengeluarkan kenyataan bulan lalu mengatakan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa, berhubung laporan kehilangan barang kes wang tunai AS$6 juta. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen