Umno belum putuskan kerjasama parti lain pada PRN Melaka, kata Mohamad


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti belum buat keputusan sama ada bergerak solo atau kerjasama dengan parti lain pada PRN Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

UMNO belum membuat keputusan sama ada bergerak secara solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain setakat ini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) parti itu dalam waktu terdekat dengan mengambil kira segala pandangan dan kaji selidik daripada setiap bahagian.

“Parti belum buat keputusan lagi (setakat ini), keputusan akan dibuat daripada Mesyuarat MT, jadi semua keputusan nanti kita bincang daripada syor biro politik dan pandangan lain secara teliti, pengakhirannya kita akan tengok mana beri kebaikan, masuk pilihan raya nak menang bukan nak pesta.

“Apa jua keputusan akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut dan presiden parti akan buat kenyataan, setakat hari ini tiada keputusan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat dan Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan Umno 2021, Bahagian Rembau hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Adun Rantau berkata sekiranya Umno bergerak sendirian, parti itu sudah menyasarkan kerusi yang akan ditandingi namun perancangan itu akan diolah kembali  jika Umno memutuskan bekerjasama dengan parti lain.

“Secara umumnya, Umno sudah tahu mana kerusi-kerusi yang kita hendak bertanding, cuma jika ada pihak lain (kerjasama parti lain) kita akan ubah semula (pembahagian kerusi).

“Ini semua terpulang kepada keputusan MT Umno, Melaka tak ada banyak kerusi jadi tidak ada isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN… kita tak boleh kata kerusi tradisi lagi, bagi Umno bila kita masuk PRN Melaka, kita nak menang bukan nak bermegah-megah,” katanya. – Bernama, 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen