SEKURANG-KURANGNYA 48 orang terbunuh dan 31 yang lain hilang akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat yang melanda Nepal sejak tiga hari lepas.
Hujan lebat yang melanda selepas musim tengkujuh itu di luar jangkaan, mengakibatkan paras air sungai meningkat dan berlakunya tanah runtuh.
“Selain itu 23 orang turut dilaporkan cedera pada Rabu petang. Angka korban kemungkinan meningkat,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Phanindra Mani Pokharel kepada Xinhua.
Sebanyak 20 rumah dan padi yang sudah dituai musnah manakala 20 dari 77 daerah terjejas, kata Pokharel.
Menurut laporan Kementerian Dalam Negeri, 11 kematian dilaporkan di daerah Illam diikuti sembilan di daerah Doti di Sudur Paschim, barat Nepal.
Sementara itu sebanyak 23 orang turut dilaporkan hilang di daerah Bajhang.
Menurut jabatan meteorologi, bahagian timur dan barat Nepal paling banyak menerima hujan.
“Cuaca dijangka bertambah baik mulai Khamis,” kata pakar kanan jabatan itu Indira Kandel. – Bernama, 20 Oktober, 2021.
Komen