Najib hanya mahu tahu tentang laporan audit 1MDB, kata saksi


Hailey Chung Wee Kye

Bekas perdana menteri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB dikenakan terhadapnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak hanya menunjukkan minat dalam meminta salinan laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bukannya laporan lain, menurut pendakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ketika soal balas saksi pendakwa Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram bertanya sama ada Najib ada meminta salinan atau minta ubah sebarang laporan lain.

Saadatul Nafisah – bekas pengarah Jabatan Audit Negara yang mengetuai pasukan khas audit berkenaan 1MDB – berkata Najib tidak meminta salinan audit khas yang lain.

Saksi berkata jabatan itu ada menjalankan beberapa audit khas, termasuk berkenaan klia2 berhubung kosnya yang berlebihan.

Sri Ram: Anda menggambarkan ini (1MDB) sebagai audit khas. Adakah ini kali pertama anda (jabatan) melakukannya?

Saadatul Nafisah: Tidak. Kami ada buat beberapa kali. Ada satu permintaan daripada Kabinet berkenaan projek klia2.

Pada 2015 ketua audit negara diminta melakukan audit terhadap klia2 untuk syarikat penerbangan tambang rendah di Sepang, Selangor susulan dakwaan kos pembangunannya terlebih.

Saadatul Nafisah berkata laporan khas audit 1MDB dan klia2 dianggap bersifat penyiasatan.

Sri Ram: Siapa perdana menteri ketika audit klia2 dijalankan?

Saadatul Nafisah: Najib. (Najib adalah perdana menteri dari 2009 hingga 2018).

Sri Ram: Adakah tertuduh kedua (Najib) minta salinan laporan klia2 atau minta perubahan dibuat terhadap laporan itu?

Saadatul Nafisah: Tidak.

Saadatul Nafisah memberi keterangan sebagai saksi pendakwa ketujuh dalam perbicaraan membabitkan ahli Parlimen Pekan itu yang dituduh melakukan pindaan terhadap laporan audit 1MDB di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda bersama Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk membuang sebahagian laporan akhir audit 1MDB antara 22 dan 26 Februari 2016, di Jabatan Perdana Menteri, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, bagi melindungi dirinya daripada tindakan jenayah.

Arul Kanda didakwa kerana bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Najib dikenakan tindakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 20 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen