Angka korban banjir kilat di utara India meningkat 41 orang


Hujan lebat tanpa henti beberapa hari ini mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh dan memusnahkan beberapa kediaman. – Gambar EPA, 19 Oktober 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 41 orang maut manakala berpuluh yang lain hilang akibat tanah runtuh dan bajir kilat susulan hujan lebat melanda utara India beberapa hari ini, kata pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa Uttarakhand berdekatan banjaran Himalaya, 35 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh hari ini, manakala enam kematian dilaporkan dalam insiden sama semalam.

Sekurang-kurangnya 30 daripada mangsa terbunuh dalam tujuh kejadian berasingan di wilayah Nainital yang teruk terjejas awal hari ini.

Hujan lebat tanpa henti mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh dan memusnahkan beberapa struktur.

“Setakat ini 30 orang disahkan meninggal dunia, ramai lagi masih hilang,” kata pegawai kanan polis Nainital, Ashok Kumar Joshi kepada AFP.

Joshi berkata, beberapa kawasan pedalaman di kawasan berbukit mengakibatkan kerosakan teruk berikutan hujan lebat.

Sementara itu, Pegawai Awam Tempatan Pradeep Jain berkata lima mangsa yang terkorban membabitkan satu keluarga yang rumahnya ranap ditimbus tanah runtuh

Satu lagi tanah runtuh berlaku di daerah utara Almora mengorbankan lima orang setelah batu besar dan tembok lumpur meranapkan rumah mereka.

Sekurang-kurangnya enam yang lain terbunuh pada Isnin di dua daerah pedalaman di negeri ini.

Jabatan Meteorologi India memperluas dan meningkatkan amaran cuaca pada Selasa, dengan meramalkan hujan “sangat lebat” di wilayah itu dalam dua hari akan datang.

Menurut pejabat kaji cuaca beberapa kawasan dihujani lebih 400 milimeter pada Isnin, menyebabkan tanah runtuh dan banjir. – AFP, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen