Wartawan Algeria dibebaskan selepas dipenjara kerana sebar berita palsu


Mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan termasuk enam bulan penggantungan pada 11 Oktober, pengurangan dua bulan daripada hukuman asal. – Gambar AFP, 19 Oktober 2021.

WARTAWAN Algeria Rabah Kareche meninggalkan penjara hari ini setelah menyelesaikan hukuman enam bulan kerana “menyebarkan berita palsu”, kata akhbarnya Liberte.

“Wartawan kami, Rabah Kareche bebas lagi setelah enam bulan berada di penjara Tamanrasset” di gurun selatan negara itu, lapor akhbar berkenaan di laman webnya.

Mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan termasuk enam bulan penggantungan pada 11 Oktober, pengurangan dua bulan daripada hukuman asal.

Pembebasannya dilakukan kerana telah menjalani hukuman yang lama sepanjang tempoh perbicaraan dan rayuannya.

Kareche ditangkap pada April lalu setelah melaporkan Tuareg, seorang minoriti Berber yang telah lama mengadu peminggiran ekonomi dan sosial kerana memprotes “rampasan” tanah bersejarah mereka.

Kareche dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan termasuk empat bulan penggantungan pada 12 Ogos kerana “menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam”.

Dia juga dituduh memuat naik laporan yang mendorong kepada “perpecahan dan kebencian dalam kalangan masyarakat”.

“Saya menjadi mangsa ketidakadilan besar,” kata Liberte yang memetik Kareche sebagai berkata ketika dia meninggalkan penjara.

“Saya tidak melakukan apa-apa selain pekerjaan saya sebagai wartawan berlandaskan profesionalisme.”

Algeria menduduki tempat ke-146 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Wartawan Tanpa Sempadan. – AFP, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen