Terus yakinkan golongan atas pagar ambil vaksin Covid-19, gesa pakar


Raevathi Supramaniam Ragananthini Vethasalam

Beberapa pakar kesihatan berpendapat sudah tiba masanya Putrajaya mewajibkan pengambilan vaksin bagi menjamin keselamatan penduduk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober 2021.

PUTRAJAYA harus meneruskan sokongan vaksin Covid-19 terhadap kumpulan yang ragu-ragu mengambil suntikan pelalian itu sebelum memutuskan untuk mewajibkannya, kata pakar kesihatan.

Walaupun pendekatan lembut untuk mendidik dan menyebarkan maklumat tepat mengenai vaksin telah berlangsung sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada Februari lalu, namun mereka berkata mungkin ada kelompok yang meraguinya.

Sementara itu, beberapa pakar lain berpendapat sudah tiba masanya Putrajaya mewajibkan pengambilan vaksin bagi menjamin keselamatan penduduk sambil memastikan mereka yang belum divaksin tidak membebankan sistem kesihatan ketika dijangkiti wabak itu.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Universiti Putra Malaysia berkata kerajaan perlu menyiasat punca di sebalik keraguan pengambilan pelalian dan membuka sidang dialog bersama individu ini bagi meyakinkan mereka bahawa vaksin adalah selamat.

“Kita perlu menyiasat punca dan berdialog dengan mereka, menunjukkan keprihatinan anda kepada mereka, memberikan data berdasarkan bukti untuk menghilangkan kerisauan mereka dan kemudian meyakinkan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita perlu merungkai lima persoalan – siapa dengan mengenal pasti individu, apa masalah mereka, bila waktu yang tepat untuk berdialog dengan mereka dengan data yang meyakinkan, di mana mereka mendapatkan data ilmiah dan mengapa mereka ragu-ragu untuk mengambil vaksin.”

Dr Chee berulang kali berkata, bukan keselamatan vaksin yang membuatkan orang ramai ragu-ragu, tetapi proses mendapatkannya mungkin membebankan.

“Kurangnya akses untuk vaksinasi, maklumat yang tepat, cadangan profesional, proses pendaftaran yang panjang, komplikasi dalam pendaftaran, pusat vaksinasi tidak kondusif, dan penantian yang lama juga boleh menyumbang kepada hal ini,” katanya, sambil menambah waktu menunggu meningkat dengan ketara berbanding sebelumnya ini.

Ketika ini tidak ada mandat vaksin di Malaysia yang mewajibkan semua pihak untuk mendapat suntikan pelalian Covid-19.

Setakat ini, vaksin Covid-19 hanya diwajibkan untuk mereka di dalam perkhidmatan awam dengan pengecualian diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam keputusan ini dibuat untuk meningkatkan keyakinan masyarakat dan memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan lancar.

Hampir 98% daripada 1.6 juta penjawat awam telah diberi vaksin, sementara 16,902 atau 1.6% belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen