USAHA membentuk rangkaian perkongsian lebih rapat menuju prospek tenaga lebih hijau dan inklusif antara objektif utama persidangan menteri tenaga jalur dan laluan kedua yang berlangsung di Qingdao, China, bermula Isnin.
Menteri tenaga dan wakil kanan dari 28 negara, diplomat asing dari 18 negara dan wakil 9 pertubuhan antarabangsa berkumpul secara hibrid untuk sesi perbincangan selama dua hari yang memfokuskan kepada sinergi dalam pengendalian transformasi dan cabaran keselamatan tenaga.
Naib Perdana Menteri China, Han Zheng ketika berucap pada persidangan itu menekankan pentingnya pembekalan tenaga di negara terbabit dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) ke arah lebih cekap, bersih dan multidimensi.
Beliau turut mengetengahkan beberapa cadangan untuk merealisasikan matlamat itu, termasuk perlunya sinergi untuk menggerakkan transformasi ke arah tenaga hijau dan rendah karbon.
“Kolaborasi membabitkan kuasa nuklear, tenaga pintar dan penjanaan elektrik menggunakan tenaga boleh baharu perlu dipergiatkan bagi memastikan kehijauan Laluan Sutera,” kata Han.
Pada masa sama, beliau berpandangan usaha membangunkan dan mengaplikasikan teknologi tenaga bersih harus dipertingkat.
Menyentuh kelestarian tenaga, Han mengesyorkan kerjasama berkaitan akses tenaga diperkukuh demi membantu negara membangun meningkatkan kemampuan dalam menjamin keselamatan tenaga.
Demi keterangkuman tenaga, beliau turut merayu supaya hak negara dalam memilih strategi pembangunan tenaga dapat dihormati.
Difahamkan, Inisiatif Qingdao disiarkan sepanjang sesi perbincangan berkenaan dengan menggariskan pelan bagi menggerakkan kerjasama tenaga hijau di bawah BRI.
Pihak terbabit diseru bertindak secara bersepadu untuk menyokong negara membangun mengembangkan tenaga hijau dan rendah karbon.
Dalam pada itu, satu rangka kerja yang berwawasan perlu digubal bagi menambah baik ketahanan pembekalan tenaga hijau di samping mencipta suasana pelaburan kondusif dalam sektor berkenaan. – Bernama, 19 Oktober, 2021.
Komen