Perlis letak harapan tinggi Belanjawan 2022, kata MB


Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata ada beberapa projek pelbagai saiz yang diminta kerajaan negeri terhadap kerajaan persekutuan dan berharap ia diluluskan seperti dirancang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

KERAJAAN Perlis meletakkan harapan yang tinggi pada Belanjawan 2022 bagi membolehkan segala perancangan untuk pembangunan negeri dijayakan dengan berkesan.

Menteri Besar Azlan Man berkata Perlis telah mengemukakan beberapa permohonan kepada kerajaan Persekutuan terutama berkaitan projek pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Kita meletakkan dua harapan ini bagi memajukan negeri ini. Ada projek saiz besar, sederhana dan kecil dan berharap ia dapat diterima dan diluluskan mengikut pada pelan yang dirancang,” katanya kepada Bernama di Kangar hari ini.

Beliau mengulas mengenai Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

Menurut Azlan, beliau juga telah menyuarakan pandangan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri mengenai perkara itu dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Beliau (perdana menteri) juga telah memberikan respons yang positif malah beliau akan melihat dan memperincikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Terdahulu, Azlan melawat dan menyerahkan kunci rumah baharu di bawah projek bina baharu rumah di bawah kerajaan negeri kepada Sharifah Abu Bakar, 46, yang tinggal di Kampung Nesam dekat Kangar. – Bernama, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen