Kes Covid-19 New Zealand naik walau kadar vaksinasi meningkat


Pandemik yang tertumpu di Auckland, telah memaksa Perdana Menteri Jacinda Ardern mengenakan dasar menghapuskan virus dengan meningkatkan kadar vaksinasi. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2021.

NEW Zealand mencatatkan jumlah kes harian koronavirus tertinggi sejak bermulanya pandemik pada Selasa dengan varian Delta yang menghancurkan matlamat “Sifar Covid” negara tidak menunjukkan tanda mereda.

Pihak berkuasa kesihatan mengumumkan 94 kes baharu virus, melebihi rekod harian sebelum ini sebanyak 89 pada April tahun lalu semasa gelombang pertama jangkitan Covid-19.

Walaupun bilangan kes masih rendah menurut kebanyakan piawaian antarabangsa, angka tersebut terus meningkat sejak varian Delta dijumpai pertama kali di New Zealand pada Ogos.

Pandemik yang tertumpu di Auckland, telah memaksa Perdana Menteri Jacinda Ardern mengenakan dasar menghapuskan virus dengan meningkatkan kadar vaksinasi.

Pemimpin itu dijangka melancarkan strategi baharu pada Jumaat yang akan memungkinkan kebebasan yang lebih besar setelah sasaran vaksinasi tercapai.

Kira-kira dua pertiga daripada penduduk yang layak kini telah diinokulasi sepenuhnya.

“Kami tahu vaksinasi sudah membuat perubahan yang signifikan terhadap pandemik di Auckland, tetapi begitu juga orang yang mengikuti peraturan,” kata Ardern kepada wartawan.

Sebelum kedatangan Delta, New Zealand mendapat pujian yang meluas atas pendekatan kerasnya, melibatkan penutupan ketat, pengesanan kontak rapat dan sekatan sempadan yang ketat.

Langkah-langkah itu berbaloi, dengan hanya 28 kematian dalam populasi lima juta dan kehidupan hampir normal untuk jangka masa panjang.

Namun Ardern mengakui Delta sebagai “pengubah permainan”, menular dengan cepat. – AFP, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen