MUZIUM lilin terkenal London Madame Tussauds minggu ini membuka cawangan pertamanya di dunia Arab di Dubai, yang berharap dapat menarik jutaan pelancong ke Ekspo 2020.
Jenama bermula di London dengan 250 patung lilin yang menarik jutaan pengunjung setiap tahun, juga mempunyai cawangan lebih kecil di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
“Kami membuka pintu pada 14 Oktober tahun ini hampir dengan Ekspo 2020,” kata Sanaz Kollsrud, pengurus besar Madame Tussauds Dubai, kepada AFP.
“Kami mengharapkan banyak pengunjung dari dalam dan luar negara datang.
“Kami memilih bakat yang relevan dan popular di rantau ini.”
Cawangan Dubai mempamerkan 60 patung “bintang global”, termasuk pemain bola sepak sensasi Lionel Messi dan penyanyi pop Rihanna.
Selain itu, kira-kira 15 patung lain berasal dari wilayah itu termasuk bintang pop Lubnan Nancy Ajram dan Maya Diab.
Dengan hanya simpanan minyak yang terhad, Dubai memberi fokus pada pengembangan pelancongan dan sektor hiburan.
Dubai menganjurkan Expo 2020 Dubai selama enam bulan - yang dibuka pada 1 Oktober selepas tertangguh setahun - untuk menarik berjuta-juta pengunjung dan meningkatkan ekonominya yang terjejas wabak. – AFP, 19 Oktober, 2021.
Komen