Laporan: Firma Australia diguna untuk tipu pembelian hartanah Mara di Melbourne


The Sydney Morning Herald melaporkan Unilodge pada asalnya dinilai pada harga A$23.5 juta (RM74 juta). Bangunan itu dijual pula kepada Mara dengan harga A$41.8 juta seperti yang dinilai oleh cawangan Raine and Horne Malaysia. – Gambar unilodge.com.au, 27 Januari, 2018.

SATU laporan akhbar Australia mendakwa pembelian hartanah Mara di Melbourne sengaja dinilai lebih tinggi dengan menggunakan ejen penilaian hartanah tempatan.

The Sydney Morning Herald (SMH) mendakwa bangunan di 746 Swanston Street yang dibeli Mara itu terlebih nilai oleh sebuah syarikat yang menggunakan nama firma hartanah terbesar Australia, Raine and Horne.

Bangunan yang juga dikenali Unilodge itu pada asalnya dinilai pada harga A$23.5 juta (RM74 juta) oleh seorang penjual bangunan dan usahawan Australia, Lionel Farber. Unilodge digunakan untuk menempatkan pelajar.

Sebaik ia dijual kepada sebuah syarikat luar pesisir, bangunan itu dijual pula kepada Mara dengan harga A$41.8 juta seperti yang dinilai oleh cawangan Raine and Horne Malaysia.

Firma hartanah gergasi Australia tersebut memberitahu akhbar SMH bahawa firma yang berpangkalan di Malaysia itu membayar untuk menggunakan namanya dan penilaian yang dilakukan adalah wajar.

“Penyiasatan tempatan… menyimpulkan bahawa tiada kesilapan ditemui dalam penyiasatan itu,” Raine and Horne Australia berkata dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Farber pula berkata, tidak masuk akal bagi hartanah yang pernah dimiliknya itu dinilai pada harga lebih tinggi dari nilai asal yang dibuatnya pada 2012.

“Ini satu jenaka,” kata Farber seperti dipetik akhbar itu.

Pengerusi Mara Inc, Mohammad Lan Allani yang ketika itu memeterai perjajian antara Mara dan syarikat luar pesisir itu didakwa telah mengarahkan penilaian itu.

SMH juga melaporkan penyiasat antirasuah mendapati Mohammad Lan dibayar sebanayak A$3.2 juta ke dalam akaun peribadinya sebaik perjanjian itu ditandatangani.

Mohammad Lan yang merupakan seorang bekas adun Sabah mendakwa beliau tidak ingat transaksi yang diragui itu.

Mara Inc telah membayar A$41.8 juta bagi membeli saham sebuah syarikat kosong, Thrushcross Land Holdings Ltd pada 28 Ogos 2012.

Mara Inc membeli Thrushcross kerana ia dikatakan memiliki bangunan 12 tingkat Unilodge di 746 Swanston Street, Melbourne. Bagaimanapun, Thrushcross tidak memiliki bagunan itu ketika transaksi dilakukan.

Portfolio Mara Inc dalam hartanah luar negara terutamanya di Australia, menjadi perhatian berikutan pendedahan mengenai skandal urusniaga membabitkan pembelian satu lagi hartanah di Melbourne iaitu Dudley House pada 2015.

Bahagian hartanah Mara kemudiannya mengarahkan laporan penilaian berasingan dan bebas dibuat ke atas kesemua hartanahnya.

Penilaian yang dilakukan dua syarikat berpangkalan di Melbourne mengesahkan bahawa pihak yang terlibat dalam urusniaga Unilodge mungkin telah berjaya meraih pulangan sehingga RM18 juta. – 27 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen