Kebebasan bersuara dibungkam ketika pandemik, kata Amnesty


Amnesty International berkata terdapat sekatan kebebasan bersuara yang belum pernah terjadi sebelum ini sejak tahun lalu, dan mungkin banyak nyawa terkorban kerana kurangnya maklumat yang tepat.– Gambar EPA, 19 Oktober, 2021.

BANYAK negara di seluruh dunia menggunakan alasan pandemik koronavirus untuk mengekang pengkritik, kata Amnesty International pada Selasa.

Pemantau hak asasi berkata terdapat sekatan kebebasan bersuara yang belum pernah terjadi sebelum ini sejak tahun lalu, dan mungkin banyak nyawa terkorban kerana kurangnya maklumat yang tepat.

“Saluran komunikasi jadi sasaran, media sosial disekat, dan agensi media ditutup,” kata Rajat Khosla, pengarah kanan Amnesty untuk sokongan dan dasar penyelidikan.

“Ketika pandemik, wartawan dan profesional kesihatan dibungkam dan dipenjarakan.

“Akibatnya, orang tidak dapat maklumat mengenai Covid-19, termasuk bagaimana melindungi diri dan masyarakat.

“Kira-kira lima juta orang terkorban untuk Covid-19, dan kekurangan maklumat mungkin antara faktor penyumbang.”

Menjelang Februari 2020, Amnesty berkata, di China di mana virus itu pertama kali muncul beberapa bulan sebelum, 5,511 siasatan jenayah telah dibuka terhadap individu kerana “membuat dan sengaja menyebarkan maklumat palsu dan berbahaya” mengenai sifat dan tahap pandemik tersebut.

Kerajaan Tanzania di bawah bekas presiden John Magufuli menggunakan undang-undang yang melarang “berita palsu” dan langkah-langkah lain untuk menyekat liputan media.

Magufuli, yang menolak pemakaian pelitup muka, maut secara tiba-tiba pada Mac tahun ini tetapi telah menafikan virus merebak di negaranya, dengan alasan virus tersebut boleh dilawan dengan doa.

Pihak berkuasa Nicaragua menggunakan undang-undang darurat terhadap jenayah siber bagi menghukum sesiapa yang kritikal terhadap cara kerajaan menghadapi virus itu, kata Amnesty.

Kerajaan Presiden Daniel Ortega menolak tuntutan kekurangan katil hospital dan jumlah kes dengan kematian yang meningkat.

Di Rusia, pengenalan undang-undang anti-berita palsu dan hukuman jenayah yang berkaitan dengan Covid-19 kemungkinan akan tetap berlaku setelah wabak itu berakhir, Amnesty memberi amaran.

Kumpulan yang berpusat di London itu berkata langkah-langkah tersebut adalah sebahagian dari serangan terhadap hak asasi manusia di seluruh dunia dalam beberapa tahun terakhir, dan meminta ia segera dicabut.

Ia juga menyasarkan peranan platform media sosial kerana tidak menghentikan penyebaran maklumat palsu dan menyesatkan mengenai virus tersebut.

Itu menjadikannya “semakin sukar bagi individu untuk memiliki pendapat yang tepat dan membuat pilihan yang berpendidikan mengenai kesihatan mereka”, kata kumpulan itu dalam laporan baharu, “Silenced and Misinformed: Freedom of Expression in Danger During Covid-19”.

“Negara dan syarikat media sosial juga perlu memastikan masyarakat mempunyai akses yang tidak terbatas terhadap maklumat tepat, berdasarkan bukti dan tepat waktu,” kata Khosla.

“Ini adalah langkah penting untuk mengurangkan keraguan vaksin yang disebabkan oleh maklumat yang salah.” – AFP, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen