Restoran mahu beroperasi lebih masa tetapi pekerja kurang


Ravin Palanisamy

Jika tidak benar operasi 24 jam, mungkin kerajaan boleh benarkan kedai makan beroperasi sampai 2 pagi kerana sekarang ada perlawanan bola sepak yang boleh menarik pelanggan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

PEMILIK restoran mahu Putrajaya membenarkan mereka melanjutkan waktu operasi perniagaan memandangkan sekatan telah dilonggarkan dan kebenaran rentas negeri dan keluar negara dibenarkan.

Mereka berkata sepatutnya mereka dibenarkan beroperasi selama 24 jam seperti sebelum pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) J. Suresh berkata dengan kebenaran ini semoga ia dapat membantu menampung semula kerugian selepas sekatan pergerakan akibat Covid-19.

“Kami akan sambut baik keputusan tersebut jika kerajaan benarkan restoran beroperasi untuk 24 jam.

“Sudah tentu tidak semua restoran India beroperasi 24 jam tetapi jika kerajaan izinkan, ada beberapa restoran bersedia beroperasi sepanjang masa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bulan lepas, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam untuk semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), kecuali kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mulai Isnin, semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia diletakkan di bawah Fasa 3 atau 4.

Kerajaan juga membenarkan kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya  beroperasi 24 jam sehari.

Berikutan kelonggaran ini, Suresh berkata pelanjutan waktu operasi restoran bukanlah permintaan besar.

Mereka berkata rakyat tempatan lebih selesa bekerja di kedai makan popular berbanding restoran mamak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

Kurang tenaga kerja

Namun bagi Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan sekarang bukanlah keadaan sesuai untuk buka kedai makan 24 jam.

Ini kerana ketika ini restoran menghadapi kekurangan tenaga kerja yang besar.

Walaupun beliau lebih suka dengan waktu operasi 24 jam, Jawahar berkata tanpa pekerja yang cukup restoran sukar untuk beroperasi sepanjang masa.

“Sebelum ini, kami ada pekerja asing. Jadi, kami dapat beroperasi selama 24 jam.

“Tetapi sekarang, restoran kurang pekerja. Oleh itu, saya tidak fikir sekarang ini kita dapat kawal jika kita beroperasi 24 jam,” katanya.

Jawahar berkata bukanlah perkara mudah mencari pekerja tempatan, terutamanya untuk bekerja di kedai mamak walaupun menawarkan gaji yang lumayan.

Katanya rakyat Malaysia lebih suka bekerja dengan kedai makanan yang terkenal.

“Kami sudah pasang bunting di restoran dan kami sudah sebar mesej tetapi rakyat Malaysia masih tidak datang.

“Mereka lebih suka bekerja di tempat seperti McDonalds dan F&B terkenal lain berbanding restoran mamak.

“Sebahagian kecil pekerja tempatan yang kita dapat sekarang adalah orang tua, berusia atas 50 tahun kerana mereka juga mahukan wang dalam detik sukar ini. Tetapi kerana usia mereka, kita tidak dapat beri tugas berat kepada mereka.

“Jadi, semua ini hanya menyulitkan kita dan saya rasa mustahil untuk kita beroperasi 24 jam,” katanya.

Jawahar, bagaimanapun, berkata restoran yang ada tenaga kerja dan ingin beroperasi 24 jam dapat berbuat demikian, dengan syarat kerajaan bersetuju, kerana katanya persatuannya tidak ada masalah dalam hal ini.

Tambahnya daripada kira-kira 12,500 anggota Presma, sekitar 2,000 telah tamatkan perniagaan mereka kerana kekurangan tenaga kerja dan hilang perniagaan.

Mereka berkata sepatutnya mereka dibenarkan beroperasi selama 24 jam seperti sebelum pandemik, namun dalam masa sama juga kekurangan tenaga kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2021.

Buka sehingga jam 2 pagi

Pemilik Sri Paandi Brickfields Kumar Alargarsamy juga menyuarakan pandangan Jawahar dengan berkata beliau mungkin tidak buka restorannya atas jam 12 tengah malam ketika ini kerana kekurangan pekerja.

“Bila kami buka 24 jam, kami mungkin ada pelanggan tetapi pada masa sama, kami mungkin tidak ada pekerja untuk melayan mereka. Ini mungkin jadi masalah.

“Oleh itu, kami mahu elak semua ini. Sehingga sekarang, dengan pekerja yang ada, saya terfikir untuk tutup kedai pada pukul 10 malam,” katanya.

Kumar berkata mereka akan beroperasi sepanjang masa jika cukup pekerja.

“Kami mula perniagaan kami di sini pada 1984 dan pada 1993 kami jadikan restoran 24 jam.

“Kami tidak pernah ada masalah tenaga kerja waktu ini, tetapi kami cuma menghadapi masalah ini sekarang,” katanya, berharap kekurangan tenaga kerja dapat segera diatasi.

Pemilik Nasi Kandar Penang Town Shaik Fazrin juga mengakui ada masalah tenaga kerja di restorannya.

Namun, beliau meminta kerajaan melanjutkan waktu operasi hingga jam 2 pagi, jika mereka tidak bersedia melanjutkan sampai 24 jam.

“Kami masih menyewa, bayar gaji antara lain. Jadi, melanjutkan waktu operasi untuk dua jam adalah sesuatu yang lebih baik daripada tidak ada.

“Sekarang ada perlawanan bola sepak larut malam pada hujung minggu, itu juga dapat tarik pelanggan,” katanya. – 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen