Thailand sokong penuh peranan Duta Khas Asean ke Myanmar


Thailand menyokong sepenuhnya peranan Duta Khas Asean ke Myanmar Erywan Mohd Yusof dalam mempermudah penyelesaian damai terhadap krisis yang dihadapi negara itu sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2021.

THAILAND menyokong sepenuhnya peranan Duta Khas Asean ke Myanmar Erywan Mohd Yusof dalam mempermudah penyelesaian damai terhadap krisis yang dihadapi negara itu sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Thailand Tanee Sangrat dalam satu kenyataan menyatakan Erywan dapat membantu memudahkan penyelesaian damai di Myanmar iaitu dengan cara “Myanmar-led, Myanmar-owned”.

Pada mesyuarat tergempar Menteri-menteri Luar Asean Jumaat lepas, Tanee berkata setiap menteri memiliki kesempatan untuk menyatakan pandangan mengenai isu Myanmar secara ‘jujur ​​dan telus’.

Susulan mesyuarat tersebut, negara-negara anggota ASEAN memutuskan untuk mengecualikan pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing dari sidang kemuncak Asean yang akan datang berikutan kurangnya komitmen junta terhadap rancangan konsensus lima perkara Asean.

Mesyuarat itu juga menolak permohonan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUJ), untuk menyertai sidang kemuncak dari 26-28 Oktober dan sebaliknya memutuskan mengundang  wakil bukan politik untuk mewakili Myanmar.

Sejak kerajaan terpilih Aung San Suu Kyi digulingkan tentera kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 1 Februari, berlaku rusuhan dengan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat kekerasan pasukan keselamatan. – Bernama, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen