Kontrak CEO LHDN ditamatkan awal


Tempoh perkhidmatan Sabin Samitah sebagai ketua pegawai eksekutif LHDN sehingga Disember 2022 dipendekkan atas persetujuan bersama beliau dengan kerajaan. – Gambar Facebook, 18 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA memendekkan kontrak perkhidmatan Sabin Samitah sebagai ketua pegawai eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa esok. 

LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan Sabin sendiri bersetuju perkhidmatannya ditamatkan untuk beliau menceburi bidang lain yang bersesuaian dengan minatnya.

“LHDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabin Samitah atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di LHDN dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas spekulasi tersebar sejak minggu lalu kononnya Sabin sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Peletakan jawatannya bagaimanapun pada masa itu belum diluluskan oleh lembaga pengarah LHDN.

Awal hari ini juga tersebar jemputan ke majlis ketikan terakhir Sabin di Menara Hasil, yang dijadual pada 5 petang.

Kontrak Sabin dijadual berakhir pertengahan Disember 2022. Beliau menerajui LHDN sejak 12 Disember 2016.

Sementara itu, LHDN turut mengumumkan Mohd Nizom Sairi sebagai CEO baharunya berkuat kuasa esok.

Mohd Nizom, 58, sebelum ini timbalan CEO (operasi percukaian).

Dalam kenyataan pengumuman itu, LHDN merakamkan terima kasih kepada Sabin atas perkhidmatannya selama ini.

Sabin diberhentikan ketika bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa LHDN dipengaruhi ahli politik untuk mengambil tindakan percukaian terhadapnya, termasuk dengan memalsukan dokumen.

Pada hujung September, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Kamarudin Md Din mengesahkan pihak polis membuka siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh Najib terhadap LHDN. – 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen