Junta Myanmar bebas lebih 5,000 penunjuk perasaan selepas diketepikan Asean


Pengumuman pembebasan terbaharu itu dibuat selepas Asean mengecualikan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing dari sidang kemuncak Asean atas kegagalan kerajaannya untuk meredakan krisis berdarah. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2021.

KETUA junta Myanmar pada Isnin mengumumkan pembebasan lebih 5,000 orang yang dipenjara kerana memprotes rampasan kuasa pada Februari, beberapa hari setelah Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) mengecualikan rejim tentera.

Myanmar dilanda kekacauan sejak kudeta pada Februari, dengan lebih 1,100 orang awam terbunuh dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dan lebih 8,000 ditangkap, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan.

Lebih 7,300 kini dipenjarakan, menurut Persatuan Bantuan Tawanan Politik.

Ketua Junta, Min Aung Hlaing berkata, seramai 5,636 tahanan akan dibebaskan bagi menandakan festival Thadingyut pada Oktober.

Pengumuman itu dibuat selepas Asean mengecualikan Min Aung Hlaing dari sidang kemuncak Asean atas kegagalan kerajaannya untuk meredakan krisis berdarah.

Min Aung Hlaing tidak memberikan maklumat lanjut mengenai siapa yang akan dimasukkan dalam senarai malah pihak berkuasa penjara tidak menjawab permintaan AFP untuk memberi komen.

Pada Jun, pihak berkuasa Myanmar membebaskan lebih dari 2,000 penunjuk perasaan antikudeta dari penjara di seluruh negara, termasuk wartawan yang mengkritik pemerintah tentera.

Mereka yang masih dalam tahanan termasuk wartawan Amerika Danny Fenster, yang ditahan sejak ditangkap pada 24 Mei.

Lebih 1,300 dari mereka akan dibebaskan dengan syarat mereka menandatangani perjanjian untuk tidak menyinggung perasaan, kata Min Aung Hlaing.

Perjanjian seperti itu “pada dasarnya adalah bentuk pembebasan bersyarat yang memerlukan pengawasan”, kata David Mathieson, seorang penganalisis yang sebelum ini berpusat di Myanmar, kepada AFP.

“Namun ia tidak menghalalkan keganasan sembilan bulan oleh SAC (Majlis Pentadbiran Negeri).” – AFP, 18 Oktober, 2021.

Junta terkejut

Menteri-menteri luar dari Asean pada Jumaat memutuskan untuk mengecualikan Min Aung Hlaing, sebaliknya memilih untuk mengundang “wakil bukan politik” untuk Myanmar ke sidang kemuncak pada 26-28 Oktober.

Blok itu, yang dikritik secara meluas sebagai organisasi tak bertaring, mengambil sikap tegas selepas junta menolak permintaan utusan khas untuk bertemu “semua pihak berkepentingan” di Myanmar - ungkapan yang dilihat termasuk pemimpin awam yang digulingkan Aung San Suu Kyi.

Kenyataan Asean menyatakan “kemajuan yang tidak mencukupi” dalam pelaksanaan rancangan lima mata yang dipersetujui oleh pemimpin blok pada April untuk mengakhiri pergolakan pasca rampasan kuasa.

Junta membantah keputusan itu, menuduh Asean melanggar dasarnya untuk tidak campur tangan dalam urusan dalam negeri negara anggota.

Myanmar, yang diperintah tentera sejak kudeta 1962, telah menjadi duri dalam daging bagi Asean sejak bergabung pada 1997.

Pentadbiran Min Aung Hlaing telah membenarkan rampasan kuasa dengan alasan adanya penipuan dalam pilihan raya tahun lalu, yang memenangkan oleh parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Suu Kyi.

Rampasan kuasa itu membantutkan kemerdekaan Myanmar dan Suu Kyi yang berusia 76 tahun kini berhadapan sejumlah tuduhan di mahkamah junta yang mungkin akan menjatuhkan hukuman penjara selama beberapa dekad.

Minggu lalu, ketua peguamnya berkata beliau telah dilarang oleh junta untuk bercakap dengan wartawan, diplomat atau organisasi antarabangsa.

Peguam lain dalam pasukan perundangannya juga menghadapi larangan serupa.

Pemenang Nobel Suu Kyi, yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk menentang jeneral Myanmar, dijadualkan memberi keterangan di mahkamah buat pertama kalinya akhir bulan ini. – AFP, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen