Adakan pilihan raya selamat, adil dan bersih di Melaka, kata ahli Parlimen


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan pilihan raya yang selamat dan adil di Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2021.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan perlu selamat dan bebas, lebih-lebih dalam keadaan wabak Covid-19 yang masih melanda, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan pilihan raya yang selamat dan adil.

“Beberapa parti menyatakan kebimbangan untuk mengadakan pilihan raya negeri terutama ketika negara baru mulai pulih dari wabak Covid-19. Namun kita tidak ada banyak pilihan.

“Rakyat Melaka terpaksa berada dalam situasi ini kerana permainan politik oleh empat Adun yang menarik sokongan mereka,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November dengan penamaan calon ditetapkan 8 November dan pengundian awal ditetapkan pada 16 November.

Khoo meramalkan jumlah pengundi akan menurun pada pilihan raya negeri akan datang dengan mengatakan orang ramai sudah bosan dengan politik dan pada masa sama juga bimbang dengan situasi Covid-19.

Katanya setiap orang mesti memainkan peranan mereka untuk menanamkan keyakinan dalam kalangan masyarakat.

“Kemungkinan jumlah pengundi akan menurun dalam PRN Melaka terutama disebabkan oleh kebimbangan rakyat terhadap Covid-19 dan ketidakpuashatian dengan politik.
 
“Semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, SPR, parti politik dan NGO perlu bekerjasama untuk memperkuatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap proses pengundian kita.

“SPR memainkan peranan penting bagi memastikan pilihan raya selamat, adil dan bersih,” katanya. 

Sejajar dengan seruannya untuk pilihan raya yang aman dan bersih, Khoo juga mencadangkan beberapa idea untuk dilaksanakan.

Beliau berkata SPR perlu memastikan keseluruhan proses pemilihan selamat dan sesuai dengan protokol kesihatan awam.

Memetik PRN Sabah tahun lalu yang menyebabkan lonjakan kes Covid-19, Khoo berkata prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan ketika itu tidak dikuatkuasakan. – 18 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen