Ahmad Nazlan pengerusi baharu PUNB


Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Getah Malaysia pada 2020 hingga 2021. – Gambar Facebook, 18 Oktober, 2021.

AHMAD Nazlan Idris dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berkuat kuasa 15 Oktober 2021.

Beliau menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Noh Omar yang meletak jawatan pada 1 September berikutan lantikan beliau sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Nazlan pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada 2020 hingga 2021.

Beliau sebelum ini telah dilantik sebagai pengerusi Kolej Poly Tech MARA pada 2015 hingga 2018 selain pernah menjadi ahli Majlis Penasihat Felda dan ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Global Ventures Sugar Sdn Bhd dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerantut, Pahang memiliki Ijazah Sarjana Muda Bimbingan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sijil Perguruan Asas dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata dengan pengetahuan dan pengalaman luas Nazlan diharap dapat membantu memacu kecemerlangan sekali gus memantapkan kedudukan PUNB sebagai pusat pembangunan keusahawanan Bumiputera terulung di negara ini. – Bernama, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen