BUNYI gendang dan zikir berkumandang petang semalam di Masjid Al-Nuri di Mosul, meraikan pembinaan semula monumen bersejarah itu yang dimusnahkan kumpulan militan pada 2017.
Masjid abad ke-12 yang terkenal dengan menara condong itu mengalami kerosakan teruk. Tentera Iraq mendakwa kumpulan IS bertindak meletupkan struktur ikonik itu.
Ia sedang dibina semula di bawah projek kelolaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
“Bagi saya ia hari yang menakjubkan. Saya amat gembira,” kata Marwan Muafak, 45.
“Sambutan menandakan kembalinya laungan azan dan doa di kawasan ini. Penduduk Mosul mahu kehidupan lama mereka semula,” katanya.
Ratusan penduduk berkumpul sempena sambutan Maulidur Rasul di dataran yang dihiasi lampu warna-warni di masjid dan menara.
“Ia sambutan pertama dianjurkan Masjid Al-Nuri sempena Maulidur Rasul,” kata ketua hartanah Sunni di wilayah Nineveh, Abu Bakr Kenaan.
“Kami sangat gembira. Perasaan kami tidak dapat digambarkan ketika melihat semua orang di sini,” katanya.
Pemimpin militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi muncul di Masjid Al-Nuri dengan mengisytiharkan penubuhan pemerintahan khalifah pada Julai 2014.
Bagaimanapun pada 2017, tentera Iraq dan pakatan antarabangsa menyingkirkan kumpulan itu dari bandar yang terletak di utara Iraq.
Lapan arkitek Mesir memenangi pertandingan antarabangsa bagi membina semula masjid sebagai sebahagian inisiatif Unesco untuk menghidupkan semangat Mosul bagi memulihkan bandar kedua Iraq dan kehidupan budayanya.
Unesco berjaya meraih dana lebih AS$100 juta untuk projek berkenaan dan separuh daripadanya disalurkan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kerja baik pulih akan selesai pada 2023. Seorang pegawai memberitahu struktur menara dan ruang solat akan dibina sama seperti dulu. – AFP, 18 Oktober, 2021.
Komen