FACEBOOK pada Isnin mengumumkan pelan membuka 10,000 jawatan kosong di Kesatuan Eropah (EU) bagi membina “metaverse” versi realiti maya (VR) internet yang dilihat syarikat gergasi itu sebagai masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg antara suara utama di Silicon Valley mencadangkan idea metaverse, yang akan mengaburkan sempadan dunia fizikal dan digital.
Teknologi ini, misalnya, membolehkan seseorang mengenakan set kepala VR yang membuatnya terasa seolah-olah mereka bersemuka dengan rakan - walhal cuma berhubung melalui internet.
“Metaverse berpotensi untuk membantu membuka peluang kreatif, sosial, dan ekonomi baharu. Malah orang Eropah akan membentuknya dari awal,” kata Facebook dalam catatan blog.
“Hari ini, kami umum pelan untuk mewujudkan 10,000 kerja berkemahiran tinggi baharu di EU dalam tempoh lima tahun akan datang.”
Jawatan di Eropah akan merangkumi “jurutera yang sangat khas”, namun syarikat itu sebaliknya memberikan sedikit perincian rancangannya untuk pasukan metaverse tersebut.
“EU ada kelebihan, menjadikannya tempat bagus untuk syarikat teknologi melabur dengan pasaran pengguna yang besar, universiti kelas pertama dan, yang paling penting, bakat berkualiti tinggi,” kata catatan blog itu.
Alih tumpuan elak skandal
Pengumuman itu dibuat ketika Facebook berhadapan dengan skandal dahsyat, sekatan dan kegagalan besar perkhidmatannya, selain seruan menggesa peraturan ketat dikenakan bagi mengekang pengaruhnya yang besar.
Syarikat itu berhadapan kritikan bertubi sejak sebulan lepas setelah bekas pekerja Frances Haugen membocorkan kajian dalaman yang menunjukkan Facebook tahu laman webnya boleh membahayakan kesihatan mental golongan muda.
The Washington Post bulan lalu menyatakan minat Facebook dalam metaverse adalah “sebahagian dari usaha untuk memulihkan reputasi syarikat dengan pembuat dasar dan mengubah kedudukan Facebook bagi membentuk peraturan teknologi Internet gelombang berikutnya”.
Namun Zuckerberg juga nampak seperti jujur dengan kedatangan era metaverse, meramalkan pada Julai Facebook akan beralih dari “syarikat media sosial menjadi syarikat metaverse” dalam lima tahun ke depan.
Facebook membeli Oculus, sebuah syarikat yang membuat set kepala VR, dengan harga AS$2 bilion pada 2014 dan sejak itu mengembangkan Horizon, dunia digital di mana orang dapat berinteraksi menggunakan teknologi VR.
Pada Ogos ia melancarkan Horizon Workroom, satu ciri di mana rakan sekerja yang memakai set kepala VR dapat mengadakan pertemuan di bilik maya di mana mereka semua muncul sebagai versi 3D kartun mereka sendiri.
Hilangnya sempadan realiti dan digital
Peminat Metaverse memberitahu dunia internet sudah mulai kabur antara pengalaman maya dan nyata.
Bintang seperti Ariana Grande dan penyanyi rap Travis Scott telah membuat persembahan untuk penonton yang besar menonton di rumah, melalui permainan video hit Fortnite.
Di Decentraland, platform dalam talian lain yang secara meluas dilihat sebagai pelopor metaverse, anda sudah boleh mendapatkan pekerjaan sebagai penjelajah di kasino maya.
“Tidak ada syarikat yang memiliki dan mengendalikan metaverse. Seperti internet, ciri utamanya adalah keterbukaan dan interoperabiliti,” kata Facebook dalam catatan blognya.
Ia bukan satu-satunya syarikat yang menghasilkan berjuta-juta untuk mengembangkan teknologi yang dapat mengubah versi metaverse sepenuhnya menjadi kenyataan.
Epic Games, syarikat di belakang Fortnite, mengumumkan awal tahun ini ia telah mengumpulkan dana baharu AS$1 bilion, dengan sejumlah wang itu bagi visi metaverse. – AFP, 18 Oktober, 2021.
Komen