Bekas presiden AS Bill Clinton dibenarkan keluar hospital


Bill Clinton dimasukkan ke hospital pada Selasa malam kerana jangkitan urologi. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2021.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton dibenarkan keluar hospital pada Ahad selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di selatan California, lapor Xinhua.

“Presiden Clinton dibenarkan keluar dari UC Irvine Medical Center hari ini. Suhu badan dan bacaan sel darah putihnya normal dan dia akan pulang ke New York,”  kata ketua Jabatan Perubatan di Universiti California, Dr Alpesh N. Amin.

Amin yang mengetuai pasukan doktor merawat Clinton memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan dan dikongsi jurucakap bekas presiden, Angel Urena di Twitter.

“Bagi pihak semua di UC Irvine Medical Center, kami berbesar hati merawat beliau dan akan terus memantau perkembangannya,” tambah Amin.

Bekas presiden itu dimasukkan ke hospital pada Selasa malam kerana jangkitan urologi, menurut pembantunya.

Clinton, 75, anggota Parti Demokrat, berkhidmat sebagai presiden AS ke-42 dari 1993 hingga 2001. – Bernama, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen