Belarus halau duta Perancis


Presiden Alexander Lukashenko memegang jawatan itu bagi penggal keenam selepas pilihan raya Ogos lalu. Sejak itu, Belarus dilanda protes membantah pemerintahannnya. – Gambar AFP, 18 Oktober, 2021.

DUTA Perancis ke Belarus dilaporkan sudah meninggalkan negara itu selepas pihak berkuasa di Minsk mengarahkan beliau keluar sebelum Isnin, kata kedutaan.

Jurucakap yang membuat pengumuman itu bagaimanapun tidak memberitahu mengapa pihak berkuasa Belarus mengarahkan duta berkenaan keluar.

Tetpai menurut laporan media Belarus, Duta Nicolas de Lacoste dihalau kerana beliau tidak pernah bertemu Presiden Alexander Lukashenko untuk menyerahkan salinan dokumen kelayakannya.

Sebaliknya, beliau memberikan dokumen berkenaan kepada Menteri Luar Belarus Vladimir Makei, menurut Kedutaan perancis.

Menurut media tempatan, Lukashenko melihat tindakan berkenaan sebagai satu kesombongan.

“Kementerian Luar Belarus mengarahkan dutaitu keluar dari negara ini sebelum 18 Oktober,” kata jurucakap.

“Duta Nicolas de Lacoste keluar dari Belarus hari ini.

“Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada staf kedutaan dan merakamkan pesanan video kepada rakyat Belarus yang akan disiarkan esok pagi di laman web kedutaan.”

Perancis, sama seperti negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain, tidak mengiktiraf kemenangan Lukashenko dalam pilihan raya hingga melantik dirinya sebagai presiden bagi penggal keenam, selepas pemilihan Ogos lalu.

EU dan Amerika Syarikat mengenakan beberapa sekatan terhadap rejim Belarus susulan kekerasan yang dikenakan terhadap individu berbeza pendapat di Belarus selepas protes besar-besaran meletus di negara itu, membantah pemerintahan Lukashenko.

Tetapi pemimpin berusia 67 tahun itu, yang menuduh kerajaan Barat menyalakan api protes dengan harapan membentuk revolusi, setakat ini masih bertahan dengan sokongans ekutunya dan Moscow.

Minsk sejak beberapa bulan terakhir ini, memutuskan banyak hubungan dengan duta dan wakil dari negara Barat. – AFP, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen