BEBERAPA pesawat terkandas di La Palma, sebuah Kepulauan Canary di Sepanyol selama dua hari berturut-turut disebabkan debu gunung berapi yang meletus sejak sebulan lalu.
Susulan itu 38 penerbangan dibatalkan semalam, kebanyakannya perjalanan dua hala membabitkan gugusan pulau lain di kepulauan Atlantik di luar Maghribi, kata jurucakap lapangan terbang.
Hanya empat daripada 34 penerbangan yang dijadualkan pada Sabtu lalu dibenarkan.
Syarikat penerbangan tempatan Binter dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan menyambung semula operasi secepat mungkin.
Gunung berapi La Cumbre Vieja yang terletak 15 kilometer (km) dari barat lapangan terbang itu mula aktif pada 19 September lalu, memuntahkan lava ke dalam sungai dan perlahan-lahan mengalir ke laut.
Setakat ini tiada nyawa terkorban tetapi lava meliputi seluas 750 hektar selain memusnahkan 1,800 bangunan termasuk ratusan kediaman, menurut program pemantauan bencana Kesatuan Eropah, Copernicus.
Kira-kira 7,000 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka di pulau yang berkepadatan 85,000 penduduk.
Selain meletuskan debu sehingga menutupi kawasan luas, letusan turut mengakibatkan puluhan gempa bumi kecil.
Berikutan itu, lapangan terbang La Palma ditutup dua kali sejak letusan bermula dan syarikat penerbangan terpaksa membatalkan penerbangan.
Ketua pentadbiran wilayah gugusan pulau Angel Victor Torres berkata saintis sedang memantau letusan yang tidak menunjukkan tanda akan reda.
Sepanyol dan kerajaan wilayah Kepulauan Canary setakat ini memperuntukkan 300 juta euro untuk pembangunan semula pulau berkenaan yang bergantung sepenuhnya dengan kegiatan pelancongan dan penanaman pisang.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berjanji menyalurkan peruntukan secukupnya untuk membina semula pulau itu.
Letusan kali ini adalah yang ketiga pada abad ini. Kali terakhir pada 1971. – AFP, 18 Oktober, 2021.
Komen