Penyelamat Sepanyol cari 12 pendatang hilang di laut


Sepanyol menjadi salah satu pintu masuk utama bagi pendatang dari Afrika Utara untuk mencari kehidupan lebih baik di Eropah. – Gambar EPA, 18 Oktober 2021.

PETUGAS penyelamat pada Ahad menjalankan operasi mencari 12 pendatang yang hilang selepas bot dinaiki terbalik semasa cubaan menyeberang ke negara itu dari Algeria, kata pengawal pantai Sepanyol.

Operasi menyelamat dilancarkan selepas kapal layar Norway melaporkan menyelamatkan seorang lelaki Algeria di laut sekitar tujuh batu nautika dari wilayah barat daya Almeria, kata seorang jurucakap.

Helikopter pengawal pantai yang dihantar ke tempat kejadian mendapati seorang lagi pendatang lain terapung di kawasan yang sama dan menyelamatkannya, tambah jurucakap itu.

Kedua-duanya memberitahu penyelamat yang mereka berlayar ke Sepanyol bersama 12 yang lain dari sebuah pantai dekat Oran di barat laut Algeria minggu lalu tetapi pada awal pagi Ahad, motor bot rosak dan terbalik.

Tragedi itu berlaku selepas bot lain yang membawa pendatang karam pada Khamis di sebelah barat Cape Trafalgar Sepanyol.

Dua lelaki ditemui hidup di atas bot sementara seorang wanita diselamatkan dari perairan.

Pengawal pantai menemui mayat sembilan yang lain yang berada di dalam bot tetapi 16 yang lain masih hilang.

Sementara itu, mayat seorang lelaki ditemui meninggal dunia di atas bot yang membawa 44 pendatang lain yang tiba pada Ahad di pulau Gran Canaria Sepanyol selepas seminggu di laut, kata seorang jurucakap pengawal pantai lain.

Sebanyak 44 pendatang itu mendapat rawatan perubatan dan kemudian dibawa ke pelabuhan Arguineguin yang berdekatan untuk diproses.

Kesemua pendatang adalah lelaki, kebanyakan mereka di bawah umur, dari wilayah Maghreb di Afrika Utara. Bot itu dipercayai berlepas dari Maghribi.

Pengawal pantai juga menyelamatkan 18 bot dengan 230 penumpang dari Kepulauan Balearic di Mediterranean pada Ahad termasuk beberapa wanita, kata kerajaan di kepulauan itu.

Sepanyol adalah salah satu pintu masuk utama bagi pendatang dari Afrika Utara dan mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

Lebih 27,000 pendatang tiba melalui laut di benua Sepanyol dan Kepulauan Balearic dan Canary antara Januari dan akhir September, peningkatan 54% dalam tempoh yang sama pada 2020, menurut angka kementerian dalam negeri.

Laluan laut ke Sepanyol penuh dengan bahaya. Organisasi Antarabangsa untuk Pendatang berkata sekurang-kurangnya 1,025 orang meninggal dunia tahun ini. – AFP, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen