Kes sembuh Covid-19 terus atasi jangkitan baharu


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah pulih terkumpul kini berjumlah 2,270,520. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

KES sembuh Covid-19 terus mengatasi jumlah jangkitan baharu, kata Dr Noor Hisham Abdullah, ketika Malaysia mencatat 9,231 kes pulih berbanding 6,145 jangkitan baharu.

Buat hari ke-31 berturut-turut lebih ramai yang sembuh dari Covid-19 berbanding yang dijangkiti.

Ini mungkin akan kurangkan jumlah kes aktif di negara ini namun laman CovidNow Kementerian Kesihatan hanya akan kemas kini angka terbaharu kes aktif tengah malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata jumlah pulih terkumpul kini berjumlah 2,270,520.

6,145 jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini adalah yang terendah sejak 4 Julai, di mana 6,045 kes dicatat.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) menurun dari 695 semalam kepada 682 orang hari ini.

Daripada jumlah itu, 640 disahkan kes Covid-19, sementara selebihnya 42 orang adalah kes disyaki dan sedang disiasat.

Terdapat 350 pesakit menggunakan ventilator, 281 daripadanya adalah kes Covid-19 dan bakinya 69 adalah kes disyaki dan sedang disiasat.

Mengenai pecahan kes baharu mengikut kategori, Dr Noor Hisham berkata cuma 142 atau 2.3 peratus kes hari ini berada dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Selebihnya 6,003 orang atau 97.7 peratus kes berada dalam Kategori 1 dan 2, iaitu tiada gejala dan bergejala ringan.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata kementerian telah mengenal pasti sembilan kluster baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, yang menyumbang 246 kes.

Katanya dari kluster baharu yang dikesan, enam dikaitkan dengan tempat kerja (175 kes), dua komuniti (50 kes) dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi (21 kes).

Johor melaporkan jumlah kluster paling banyak dengan empat - semuanya kluster tempat kerja.

Perak melaporkan dua kluster - satu tempat kerja dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Pulau Pinang, Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing melaporkan satu kluster.

Ini menjadikan jumlah kluster di negara ini kepada 5,672. Daripada jumlah itu, 4,996 kluster telah tamat manakala 676 masih aktif. – 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen