Tiada lagi penjarakkan sosial di Masjidil Haram


Ketika langkah penjarakkan sosial ditarik, Arab Saudi berkata tetamu Allah perlu divaksin sepenuhnya terhadap koronavirus dan perlu terus memakai pelitup muka di kawasan masjid. – Gambar Facebook Reasah Alharmain, 17 Oktober, 2021.

MASJIDIL Haram di Mekah, Arab Saudi mula beroperasi secara kapasiti penuh pada Ahad, dengan para jemaah bersolat sentuh bahu buat pertama kalinya sejak pandemik koronavirus melanda.

Pekerja masjid dilihat membuang tanda lantai yang digunakan bagi membimbing jemaah jaga penjarakkan di dalam dan di sekitar Masjidil Haram, yang dibina di sekitar Kaabah.

“Ini sejajar dengan keputusan untuk ringankan langkah berjaga-jaga dan mengizinkan jemaah dan pengunjung ke Masjidil Haram dengan kapasiti penuh,” lapor Saudi Press Agency rasmi.

Gambar dan rakaman pada pagi Ahad menunjukkan orang bersembahyang sebelah menyebelah menunaikan solat, untuk pertama kalinya sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Ketika langkah penjarakkan sosial ditarik, pihak berkuasa berkata tetamu Allah perlu divaksin sepenuhnya terhadap koronavirus dan perlu terus memakai pelitup muka di kawasan masjid.

Walaupun begitu, pengunjung masih tidak dibenar rapat dengan Kaabah.

Pada Ogos Arab Saudi mengumumkan ia akan mula menerima warga asing yang divaksin yang ingin melaksanakan haji atau umrah.

Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa dan biasanya menarik berjuta-juta orang dari seluruh dunia, begitu juga ibadah haji tahunan, yang mana umat Islam yang berkemampuan perlu menunaikan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

Pada Julai, hanya sekitar 60,000 penduduk yang diinokulasi dibenarkan mengerjakan haji.

Pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap penziarah Muslim, yang biasanya merupakan sumber pendapatan utama bagi kerajaan Arab Saudi dengan kira-kira AS$12 bilion dikumpul setiap tahun.

Menyelenggarakan ziarah adalah masalah bagi kerajaan Arab Saudi, yang menjadi penjaga tapak suci Islam sebagai sumber legitimasi politik mereka yang paling kuat.

Arab Saudi melaporkan lebih 547,000 kes koronavirus dengan 8,760 kematian. – AFP, 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen