PM baharu Jepun kirim pokok suci ke kuil kontroversi


Kunjungan ke kuil Yasukuni oleh pegawai kerajaan telah menimbulkan kemarahan negara-negara yang menderita di tangan tentera Jepun semasa Perang Dunia II, terutama Korea Selatan dan China. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2021.

PERDANA menteri baharu Jepun pada Ahad mengirim hadiah ritual ke kuil kontroversi Yasukuni yang mengingati korban perang tetapi dipandang negara jiran sebagai simbol ketenteraan Tokyo.

Fumio Kishida mengirim pokok “masakaki” di bawah namanya sebagai perdana menteri untuk merayakan festival kuil dua kali setahun yang diadakan pada musim bunga dan musim gugur, kata seorang jurucakap kuil itu kepada AFP.

Dua menteri Kishida turut menawarkan pokok suci itu.

Yasukuni mengingati 2.5 juta orang yang terkorban akibat perang, kebanyakannya orang Jepun, yang telah mati sejak akhir abad ke-19.

Namun kuil Tokyo itu juga menghormati tokoh kanan tentera dan politik yang disabitkan atas kesalahan jenayah perang oleh mahkamah antarabangsa.

Awal tahun ini, tiga menteri kanan memberi penghormatan di kuil itu pada ulang tahun serah diri Perang Dunia II Jepun.

Namun perdana menteri Jepun tidak muncul di sana sejak 2013, apabila  Shinzo Abe menimbulkan kemarahan di Beijing dan Seoul selain mendapat teguran diplomatik dari sekutu dekat Amerika Syarikat.

Pendahulu Kishida Yoshihide Suga melakukan ziarah ke kuil pada Ahad, kata jurucakap itu, sementara penyiar awam NHK menunjukkan rakaman lawatannya.

Suga telah mengelak mengunjungi kuil itu selepas 2012, ketika beliau menjadi jurucakap kerajaan Abe, dan hanya mengirim persembahan ritual ketika beliau menjadi perdana menteri.

Kunjungan ke kuil oleh pegawai kerajaan telah menimbulkan kemarahan negara-negara yang menderita di tangan tentera Jepun semasa Perang Dunia II, terutama Korea Selatan dan China.

Kishida, yang menjadi perdana menteri Jepun pada 4 Oktober, bagaimanapun tidak merancang untuk mengunjungi kuil itu, lapor Kyodo News, menyebut sumber yang dekat dengannya. – AFP, 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen