ARAB Saudi semalam membebaskan pemilik media berpengaruh di Arab, MBC hampir tiga bulan selepas dia ditahan dalam operasi cegah korupsi mensasarkan kumpulan elit negara itu, kata sumber AFP.
Waleed al-Ibrahim adalah salah seorang daripada 350 orang yang ditahan sejak 4 November lepas, termasuklah putera hartawan dan menteri yang ditahan di hotel mewah, Ritz-Carlton di Riyadh.
Ibrahim mengadakan pertemuan dengan keluarganya selepas dibebaskan, kata tiga pekerja MBC kepada AFP yang tidak mahu dinamakan. Kakitangan MBC juga menerima email rasmi mengumumkan pembebasannya.
Syarat pembebasannya tidak jelas tetapi kerajaan mengatakan semua tahanan yang dibebaskan bersetuju membayar pampasan kewangan.
Akhbar Financial Times pada Jumaat melaporkan pihak berkuasa mengarahkan Ibrahim menyerahkan kepentingannya dalam MBC untuk pembebasannya.
Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataang tentang kes Ibrahim.
Kerajaan semalam juga membebaskan beberapa orang tahanan lain termasuklah Khaled Tuwaijri, bekas ketua mahkamah diraja Saudi, dan Turk ibn Nasser, bekas ketua agensi kaji cuaca negara itu, kata sumber kerajaan kepada AFP.
Kerajaan juga sudah membebaskan beberapa tahanan berprofil tinggi sejak beberapa minggu lepas seperti bekas ketua Pengawal Negara, Putera Mited bin Abdullah selepas dia membuat “penyelesaian” dengan pihak berkuasa yang dilaporkan bernilai lebih AS$1 bilion.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman, anak raja berusia 32 tahun mengetuai operasi hapus korupsi dalam kalangan kakitangan kerajaan dan keluarga diraja dalam usaha mengukuhkan kuasanya di negara itu.
Sasaran paling dikenali ditahan dalam operasi itu ialah hartawan Putera Al-Waleed bin Talal, dianggap sebagai Warren Buffett Arab Saudi. Nasibnya sehingga kini tidak diketahui.
Pihak berkuasa mengatakan hampir semua yang ditahan mengadakan penyelesaian kewangan untuk dibebaskan, membolehkan negara itu mengumpul lebih AS$100 bilion.
Hasil yang diperolehi akan membantu kerajaan membiayai pakej bantuan jutaan dolar yang diumumkan Raja Salman bulan ini untuk membantu rakyatnya berdepan peningkatan kos sara hidup, kata Menteri Kewangan Mohammed al-Jadaan kepada media Al Arabiya di Davos pada Rabu.
Pengkritik menyifatkan operasi itu sebagai tekanan, tetapi pihak berkuasa menegaskan ia bertujuan menghapuskan korupsi yang membarah dalam negara yang sedang cuba mempelbagaikan jenis ekonominya selepas berdekad bergantung sepenuhnya kepada minyak.
Hotel Ritz- Carlton dijangka kembali beroperasi bulan depan, kata sumber hotel itu. Di laman sesawangnya, tempahan hotel sudah boleh dibuat bermula 14 Febuari. – AFP, 27 Januari, 2018.
Komen