Selepas dapat kerusi Majlis Hak Asasi PBB, Putrajaya perlu kukuhkan hak asasi


Hailey Chung Wee Kye

Jika Putrajaya mahu berbangga dengan kerusi Majlis Hak Asasi PBB, ia perlu mengukuhkan rekod hak asasi dalam negara terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA perlu menggunakan peluang berada dalam Majlis Hak Asasi untuk bekerjasama dengan organisasi tempatan bagi mengukuhkan hak asasi di negara ini, kata kumpulan sivil.

Comango atau Gabungan NGO Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) mengingatkan kerajaan yang situasi hak asasi dalam negara adalah lebih penting berbanding penglibatan dan sumbangan kepada dialog hak asasi di peringkat antarabangsa.

“Jika perdana menteri serius untuk menyuburkan (semangat) Keluarga Malaysia, ini adalah masa terbaik untuk kerajaan memberikan perhatian kepada suara kumpulan masyarakat sivil yang kritikal, serta orang awam, yang menjalankan advokasi kepada isu berpanjangan yang mengekang pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gabungan 42 organisasi itu berkata yang pertikaian masih wujud antara kementerian kerajaan tentang kesesuaian pendekatan terhadap isu hak asasi.

“Amalan mengubah atau memindahkan tanggungjawab perlu dihentikan,” katanya.

Comango juga mendesak kerajaan mengguna pakai piawai antarabangsa dalam undang-undang dan dasar dalam negara bagi melindungi kumpulan rentan dan bukannya hanya memenuhi tuntutan kumpulan majoriti dalam masyarakat.

Selain itu, ia juga memohon kerajaan memperhebat usaha mempromosi persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan lestari.

“Ini boleh dilaksanakan menerusi pelan yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi membangunkan Malaysia secara menyeluruh.

“Sebuah negara maju tidak sepatutnya diukur kekuatannya hanya bersandarkan ekonomi semata-mata,” katanya.

Dua hari lepas, Malaysia berjaya mendapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk penggal 2022-2024 selepas menang salah satu daripada 18 kerusi dengan 183 undi.

Sejak berita itu dikeluarkan, banyak pihak meluahkan rasa terkejut dengan pelantikan itu disebabkan rekod hak asasi Malaysia tidak cemerlang dan mengecewakan.

Comango berkata pemimpin politik Malaysia kini perlu lebih berani bersuara menentang tindakan negatif dan menekan hak asasi di negara ini yang berselindung atas nama kaum dan agama.

“Berdiam diri bukan lagi pilihan jika kita mahu berbangga dengan peranan kita sebagai pemimpin global dalam isu hak asasi di PBB,” katanya. – 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen