Seorang maut, 3 cedera kereta terlanggar gajah


Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata satu jentera bersama lapan anggota digegaskan ke lokasi bagi operasi menyelamat. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 17 Oktober, 2021.

SEORANG lelaki maut manakala tiga ahli keluarganya cedera apabila kereta Honda City dinaiki mereka terbabas selepas terlanggar seekor gajah di KM70, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dekat Kluang, Johor malam tadi. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim Razali berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 9.59 malam dan satu jentera bersama lapan anggota digegaskan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan pemandu kereta iaitu Ismail Daud, 37, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Anak lelaki Ismail yang berusia lima tahun, bapa mentuanya yang berusia 65 tahun serta biras lelaki berusia 30an pula cedera dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Rahim berkata mayat Ismail diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi itu ditamatkan kira-kira 10.44 malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang DSP Abdul Razak Abdullah Sani yang mengesahkan kejadian berkata kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki kesemua mangsa dari arah Felda Bukit Tongkat menuju bandar Kluang telah terlanggar seekor gajah yang sedang melintas.

Beliau berkata kejadian menyebabkan gajah itu kemudiannya menghempap kenderaan tersebut.

“Pemandu kereta yang terhimpit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpangnya cedera dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini,” katanya.

Menurut Abdul Razak, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen