Keganasan di Kashmir meningkat, 6 lagi maut


Keganasan di wilayah bergolak Kashmir kian memuncak. – Gambar AFP, 17 Oktober, 2021.

KEGANASAN di wilayah bergolak Kashmir meningkat dengan enam lagi orang terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dan pasukan keselamatan, kata pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 28 termasuk sembilan orang awam ditembak mati sepanjang dua minggu lalu.

Ketua Polis India Vijay Kumar berkata dua anggota militan The Resistance Front (TRF) terbunuh di bandar Srinagar semalam. Dalam satu kejadian berasingan beberapa jam kemudian seorang lelaki bersenjata menembak mati penjaja dan buruh dari luar Kashmir, katanya.

Sementara itu, tentera dalam satu kenyataan menyebut dua anggotanya terbunuh dalam pertempuran sengit dekat sempadan kawasan gencatan senjata antara wilayah Kashmir yang dikuasai India dan Pakistan.

Mereka terbabit dalam misi memburu militan selama seminggu, yang juga menyebabkan tujuh anggota tentera terbunuh di kawasan sempadan hutan di Mendhar, tambah kenyataan itu.

Polis berkata lebih 1,000 orang disyaki terbabit dengan kumpulan militan yang diharamkan telah ditahan bagi membantu siasatan membabitkan pembunuhan orang awam.

Kashmir terbahagi antara India dan Pakistan sejak dua negara itu memperoleh kemerdekaan dari British pada 1947, dengan kedua-duanya menuntut wilayah tersebut sepenuhnya.

Ketegangan semakin memuncak sejak India membatalkan sistem separa autonomi Kashmir pada Ogos 2019 dan meletakkan pentadbiran wilayah itu di bawah New Delhi. – AFP, 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen