KKM lapor 88 kematian Covid-19, semua kes tertunggak


Ravin Palanisamy

Jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 27,858 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 88 kematian Covid-19 setakat tengah malam tadi, dengan 26 daripadanya berlaku di luar hospital (brought in dead atau BID).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik kini meningkat kepada 27,858 kes, menurut KKM.

Menerusi data yang dikongsikan di portal GitHub juga menunjukkan semua kematian yang direkodkan setakat tengah malam tadi adalah kes tertunggak atau backlog.

Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.

Johor mencatatkan lonjakan angka kematian iaitu sebanyak 33 kes, dengan 15  daripadanya BID. Hanya enam kes kematian dilaporkan di negeri itu semalam.

Ini diikuti Sarawak dan Sabah masing-masing mencatat 14 dan 12 kes.

Data yang dikongsikan di laman web CovidNow pula menunjukkan Malaysia mencatat putara 31.5 kematian bagi setiap sejuta penduduk sepanjang dua minggu lalu. Perlis mencatat purata tertinggi iaitu 82.4, diikuti Sarawak (63.6) dan Pulau Pinang (61.5). – 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen