SPRM minta Anwar salur maklumat isu Kertas Pandora


SPRM meminta Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk memberi kerjasama sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu pendedahan Kertas Pandora. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai isu pendedahan Kertas Pandora.

SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

“Sehubungan itu, SPRM meminta Anwar untuk memberi kerjasama sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu tersebut,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata pihaknya menerima empat laporan polis berhubung isu tersebut.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’ atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora. 

Pada Isnin lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula dilaporkan berkata BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini. – Bernama, 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen