Kit Siang yang sebenar dari kaca mata Kee Thuan Chye


Chan Kok Leong

Buku Lim Kit Siang – Malaysian First (Volume One: None But the Bold) tulisan Kee Thuan Chye bakal dilancarkan pada 9 November ini. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

SEPANJANG lebih lima dekad Lim Kit Siang dalam politik, belum pernah ada buku biografi lengkap mengenai mengenai kisah hidup veteran DAP itu.

Jika ada pun buku mengenai beliau, semuanya berkisar tentang perjuangan Lim, 80, sebagai salah seorang ahli politik paling lama berkhidmat di negara ini, sehinggalah bekas wartawan dan pelakon Kee Thuan Chye menulis kisah hidup Lim atau mesra dipangggil “Kit” oleh sahabat handai secara lebih dekat.

“Belum ada lagi biografi lengkap Kit Siang,” kata Kee, 67, ketika ditemu bual The Malaysian Insight.

Tidak seperti buku-buku yang ada mengenai Lim di pasaran, buku Lim Kit Siang – Malaysian First (Volume One: None But the Bold) tidak hanya menjurus kepada perjalanan politik, tetapi juga kisah peribadinya.

Menurut Kee, buku-buku yang ada mengenai Lim tidak menceritakan secara mendalam berkenaan veteran DAP kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

“Dalam buku ini, saya mendekati lebih 60 individu untuk menggambarkan siapakah diri Kit yang sebenarnya. Dan dengan cara ini kita mendapat pelbagai perspektif yang berbeza,” katanya.

Kee percaya beliau telah berjaya menampilkan sisi berbeza Lim hasil cantuman pandangan dari lebih 60 orang merangkumi rakan sekolah, saudara-mara sehinggalah rakan dan seteru politik.

“Kit seorang yang terlalu berahsia. Jadi selepas bercakap dengan mereka ini, barulah kita tahu siapa Kit ini sebenarnya,” ujar penulis berasal dari Pulau Pinang itu.

“Dari apa yang saya kumpulkan, mungkin bukan gambaran keseluruhan tetapi saya cuba melakukannya dengan menemu bual seramai yang mungkin.

“Yang paling menarik ialah saya dapat mengenali mereka dan mendengar cerita, dan lebih menggembirakan apabila mendengar sendiri dari kawan-kawan rapat Kit, yang rata-rata berusia 80-an,” jelasnya.

Kee Thuan Chye, penulis buku Lim Kit Siang – Malaysian First (Volume One: None But the Bold). – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Oktober, 2021.

Kee menambah, buku tulisannya berkenaan ahli Parlimen Iskandar Puteri itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan yang ada di pasaran, yang lebih berkisar mengenai rentetan perjalanan Lim dalam politik.

Misalnya, melalui buku ini Kee menceritakan kisah hidup Lim bermula dengan kehidupan awalnya bersama keluarga di sebuah rumah kedai pada 1940-an.

“Saya berjaya menjejaki rumah itu semasa saya ke Batu Pahat tahun lepas.

“Ketika itu sedang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Rumah itu tidak berubah, masih sama seperti dulu.

“Dan apabila Kit dapat tahu saya ke Batu Pahat, beliau pun ikut serta, tunjukkan kepada saya di mana sekolah lamanya - Sekolah Tinggi Batu Pahat - dan tempat beliau selalu berkelah di tepi pantai di Minyak Beku,” katanya.

Gambar rumah keluarga Lim di Batu Pahat juga dipaparkan di dalam buku ini. – 17 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen