Taliban umum rancangan pendidikan anak perempuan 'tidak lama lagi'


Anak gadis masih tidak dibenarkan menghadiri kelas sekolah menengah di Afghanistan. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2021.

TALIBAN akan mengumumkan rangka kerja yang membolehkan anak perempuan bersekolah di Afghanistan “tidak lama lagi,” kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas empat minggu anak lelaki Afghanistan diizinkan mendapat pendidikan menengah tetapi tidak bagi anak perempuan.

“Menteri pendidikan memberitahu kami mereka sedang mengusahakan rangka kerja, yang akan diumumkan dalam waktu terdekat, bagi membolehkan semua gadis pergi ke sekolah menengah dan kami menjangkakan perkara itu akan segera dilaksanakan,” kata timbalan pengarah eksekutif Unicef Omar Abdi di New York pada Jumaat.

Selama beberapa minggu kini Taliban sudah menyatakan mereka akan membenarkan gadis kembali ke sekolah secepat mungkin.

Kumpulan Islam itu, yang terkenal dengan peraturan kejam dan menindas dari 1996 hingga 2001, berdepan kemarahan antarabangsa selepas menghalang wanita dan gadis dari sekolah dan tempat pekerjaan di seluruh negara, sambil secara berperingkat melenyapkan kebebasan warga Afghanistan.

Taliban membenarkan anak perempuan untuk bersekolah di sekolah rendah sejak awal, tetapi berpendapat gadis dan guru wanita tidak boleh kembali ke sekolah menengah.

Pegawai Taliban menyatakan hal itu hanya boleh berlaku apabila keselamatan dan pengasingan jantina yang ketat terhadap gadis dapat dijamin di bawah tafsiran ketat undang-undang syariah kumpulan itu, sambil menambah lebih banyak masa diperlukan untuk menetapkan rangka kerja itu.

Abdi menyedari ketika beliau bercakap, “berjuta-juta gadis sekolah menengah tidak dapat belajar bagi hari ke-27 berturut-turut.”

Beliau berkata, PBB mendesak pihak berkuasa Taliban yang kini memerintah Afghanistan “tidak melengah-lengahkan masa” untuk membenarkan gadis menghadiri kelas. – AFP, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen