Polis siasat 2 individu disyaki antivaksin


Menurut Abdul Jalil, seorang wanita ditahan berkaitan video mengaitkan kematian dua murid sekolah di Ipoh akibat suntikan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

DUA individu disyaki dari kelompok antivaksin disiasat selepas kerajaan menggesa polis bertindak lebih tegas menangani golongan itu yang didapati semakin berpengaruh.

Menurut Bukit Aman, seorang daripadanya adalah seorang wanita yang ditahan berkaitan video mengaitkan kematian dua orang murid sekolah di Ipoh akibat suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abdul Jalil Hassan berkata, wanita itu antara lain disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kenyataan menyebabkan kegentaran awam.

Wanita itu juga disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, katanya.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.

Abdul Jalil berkata, turut disiasat seorang pengguna Twitter dengan nama @khalids yang mendakwa 41 orang guru maut disebabkan suntikan vaksin.

Pengguna Twitter itu kini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 505(c) undang-undang sama kerana mengapi-apikan perasaan sesuatu kaum.

Pengguna itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan mengenai penggunaan rangkaitan Internet, katanya.

Kertas siasatan masih dalam tindakan pihak polis kerana menunggu laporan profil dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam mendedahkan kementerian itu membuat laporan polis ke atas kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat membahayakan orang awam.

Beliau juga menggesa pasukan itu melakukan siasatan dan seterusnya pendakwaan dapat dijalankan dengan segera ke atas golongan antivaksin tersebut.

“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” katanya. – 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen