2 premis, 6 individu dikompaun di Pulau Pinang


DUA premis perniagaan termasuk sebuah restoran nasi kandar terkenal di George Town dan enam individu dikenakan kompaun berjumlah RM38,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Fisol Salleh berkata pemeriksaan pematuhan SOP yang dijalankan semalam mendapati enam pelanggan sebuah bar dan restoran di Jalan Magazine di George Town belum lengkap menerima vaksin Covid-19 namun makan di premis itu.

“Pelanggan terbabit terdiri daripada empat lelaki serta dua wanita masing-masing berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun dan pemilik premis turut dikompaun kerana melanggar SOP dengan membenarkan mereka makan di situ walaupun belum lengkap vaksinasi.

“Restoran nasi kandar itu pula dikompaun kerana beberapa pekerja gagal mengimbas aplikasi Mysejahtera dan pihak polis akan terus menjalankan pemeriksaan pematuhan SOP secara rawak bagi memastikan tiada sesiapa yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan SOP di kawasan pantai Batu Ferringhi hari ini.

Beliau berkata semua kompaun itu dikeluarkan di daerah Timur Laut dan setakat ini pemeriksaan di empat lagi daerah di Pulau Pinang mendapati tiada kompaun dikeluarkan setakat ini.

Fisol berkata polis turut mengeluarkan 357 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi semalam di seluruh Pulau Pinang.

“Secara keseluruhannya menerusi pemantuan pihak polis, tahap pematuhan SOP di Pulau Pinang adalah memuaskan dan keadaan adalah terkawal namun kita sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa juga kemungkinan,” katanya.

Beliau juga berkata aliran trafik ke Pulau Pinang meningkat 38 peratus manakala aliran kenderaan di daerah Timur Laut didapati bertambah sehingga 100 peratus.

“Memang kita menjangkakan kebanjiran pelancong dan pemeriksaan yang kita lakukan memang terdapat ramai pelancong dari luar seperti Melaka, Johor dan Selangor.

“Kami amat mengharapkan orang ramai dapat sentiasa mematuhi SOP kerana polis tidak dapat berada di semua lokasi. Kita perlu sentiasa menjaga diri kita,” katanya. – Bernama, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen