Dunia perlu bersatu sedia pendidikan adil, berkualiti untuk kanak-kanak 


DUNIA perlu bersama-sama mengatasi pandemik Covid-19 dan menggembleng tenaga untuk mengambil langkah berkesan bagi menyediakan pendidikan yang adil dan berkualiti kepada kanak-kanak perempuan dan kaum wanita.

Isteri Presiden China Xi Jinping, Profesor Peng Liyuan berkata antaranya dengan menggunakan kemajuan teknologi digital terutamanya di negara dan kawasan yang penduduknya miskin serta kurang berkemampuan.

“Kita juga perlu membantu mereka meningkatkan kemampuan mencari peluang pekerjaan dan memulakan kerjaya berdasarkan penggunaan pengetahuan sains dan teknologi baharu.

“Selain itu, pengetahuan mengenai pendidikan kesihatan untuk golongan berkenaan perlu terus diperkasa agar mereka dapat menikmati kesihatan yang baik daripada aspek fizikal mahupun mental,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita tajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kali ke-5 pada Jumaat.

Peng, yang juga utusan khas Unesco turut mengucapkan tahniah kepada pemenang dari Brazil dan Mozambique.

Beliau berkata sejak China dan Unesco bersama-sama mengadakan inisiatif pemberian hadiah itu pada 2015, program ini telah menarik minat lebih ramai untuk melibatkan diri dalam pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita.

“Kerjasama fasa kedua yang dilancarkan China dan Unesco dalam pelaksanaan program ini dilihat sebagai titik permulaan baharu, yang akan menyuntik momentum kepada pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita.

“Diharapkan masyarakat antarabangsa memberi perhatian dan sokongan yang lebih tinggi kepada usaha ini, memberikan sumbangan baharu untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Uunesco, Audrey Azoulay berkata menyatakan inisiatif itu diwujudkan dengan sokongan China berjaya menyemai benih harapan dan memainkan peranan istimewa dalam membantu kaum wanita dan kanak-kanak mencapai impian serta menangkis pengaruh negatif akibat wabak Covid-19. – Bernama, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen