AS tawar pampasan kepada saudara mangsa serangan dron


AS mengakui serangan dron berlaku bulan lepas yang membunuh 10 orang termasuk kanak-kanak adalah kesilapan. – Gambar AFP, 16 Oktober, 2021.

AMERIKA Syarikat semalam berkata ia akan menawarkan sejumlah pampasan kepada saudara 10 orang di Afghanistan termasuk tujuh orang kanak-kanak yang terbunuh dalam kesilapan serangan dron ketika tentera AS sedang berundur dari negara itu.

Dalam kenyataan itu, Pentagon berkata ia juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Negara untuk memindahkan saudara mangsa yang ingin meninggalkan Afghanistan ke AS.

Tawaran itu dibuat kepada saudara mangsa pada Khamis dalam pertemuan antara Colin Kahl, pembantu setiausaha pertahanan untuk dasar dan Steven Kwon, pengasas dan presiden kumpulan bantuan yang aktif di Aghanistan digelar Organisasi Nutrisi dan Pendidikan Antarabangsa, kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Organisasi itu menggaji Ezmarai Ahmadi yang disalah tuduh sebagai pengganas IS oleh perisikan AS pada 29 Ogos ketika tentera AS sedang berundur dari negara itu.

Perisikan AS mengesan kereta Toyota putihnya selama lapan jam sebelum menyerangnya dengan peluru berpandu, membunuh tujuh kanak-kanak dan tiga orang dewasa, termasuk Ahmadi.

Komander Pusat Arahan Pusat AS Jeneral Kenneth McKenzie berkata ketika itu perisikan AS melihat kereta itu di kawasan di Kabul yang dikenal pasti sebagai lokasi pengganas IS beroperasi dan sedang merancang menyerang lapangan terbang Kabul.

Tiga hari sebelum itu seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di lapangan terbang, membunuh sejumlah mangsa termasuk 13 tentera AS.

Tetapi, bulan lepas pegawai AS mengakui serangan dron ke atas kereta Ahmadi adalah satu kesilapan.

Bulan lepas, saudara mangsa yang terbunuh dalam serangan itu menuntut pampasan dan permohonan maaf. – AFP, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen