IS mengaku bertanggungjawab serangan bom masjid di Kandahar


Berdasarkan maklumat pihak hospital, 41 maut dan kira-kira 70 lagi cedera akibat insiden serangan bom nekad di masjid di Afghanistan. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2021.

KUMPULAN Islamic States (IS) mengaku bertanggungjawab atas serangan bom nekad di sebuah masjid Syiah di Kandahar, semalam, yang menyebabkan sekurang-kurang 41 terkorban.

Serangan itu seminggu selepas IS mengaku bertanggungjawab atas satu lagi serangan terhadap penganut fahaman Syiah di sebuah masjid di Kunduz yang mengorbankan lebih 60 orang.

Dalam kenyataan melalui saluran Telegram hari ini kumpulan itu mendakwa dua pengebom nekad daripada IS-Khorasan (IS-K) melakukan serangan berasingan di bahagian berlainan masjid terbabit ketika jemaah sedang sembahyang.

Kumpulan itu seteru kepada Taliban yang berjaya mengambil alih kuasa di Afghanistan, Ogos lalu, susulan pemindahan keluar tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutu dari negara ini.

Serangan terbaru itu turut menyebabkan serpihan letupan merosakkan dinding masjid, manakala sisa runtuhan bertaburan di kaki lima pintu masuk.

Ketua Polis Kandahar Maulvi Mehmood berkata keselamatan masjid itu dikendalikan pengawal daripada komuniti Syiah, namun Taliban akan menangani aspek berkenaan susulan serangan terbabit.

Pengarah Kesihatan Kandahar Hafiz Abdulhai Abbas memberitahu berdasarkan maklumat pihak hospital, 41 maut dan kira-kira 70 lagi cedera akibat insiden berkenaan.

Sekurang-kurang 15 ambulans dilihat bergegas ulang-alik dari lokasi kejadian, manakala pengawal Taliban menutup kawasan berkenaan. – AFP, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen