KES ahli Parlimen Britain David Amess yang ditikam hingga mati adalah insiden keganasan, kata polis, ketika siasatan masih dijalankan dalam kes pembunuhan kedua membabitkan wakil rakyat UK ketika bertemu pengundi, sejak 2016.
Polis Metropolitan berkata siasatan awal mendapati ada potensi kejadian itu ada kaitan dengan ekstremisme pengganas Islam.
Amess, 69, wakil rakyat Konservatif pro-Brexit, ditikam hingga mati di dalam sebuah gereja semalam ketika mengadakan pertemuan dua minggu sekali bersama penduduk di kawasannya di sebuah bandar Leigh-on-Sea, Essex di timur London.
Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di tempat kejadian kerana disyaki terbabit dalam insiden itu dan menemui sebilah pisau.
Polis Essex berkata anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan kira-kira 12.05 tengah hari dan ketika tiba, mereka mendapati Amess mengalami beberapa kecederaan.
“Ini insiden yang sukar, tetapi anggota kami dan paramedik berusaha keras menyelamatkan beliau. Sedihnya beliau meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mangsa, bapa kepada lima anak kali pertama dipilih ke Parlimen pada 1983. Satu upacara mengenang beliau diadakan malam semalam.
Memetik beberapa media tempatan, melaporkan suspek dipercayai warganegara Britain berketurunan Somalia.
Bendera dikibarkan separuh tiang di Westminster sebagai penghormatan kepada Amess. Lima tahun lalu, ahli Parlimen parti Buruh Jo Cox turut terbunuh oleh ekstremis berhaluan kanan. – AFP, 16 Oktober, 2021.
Komen