SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan kawal selia ringan ke atas perkhidmatan awan di Malaysia mulai 1 Januari tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu diambil setelah SKMM mempertimbangkan pandangan pihak industri tempatan dan asing yang khuatir akan kesan kawal selia terhadap pelaburan dalam sektor perkhidmatan awam termasuk kos operasi.
Annuar berkata kawal selia ringan itu akan dilaksanakan melalui pelesenan perkhidmatan awan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [‘ASP (C)’] yang telah diliberalisasikan pada 2012 yang membenarkan pegangan saham asing sehingga 100 peratus dengan fi pendaftaran sebanyak RM2,500 setahun sahaja.
Beliau berkata melalui kawal selia ringan itu, SKMM berpeluang untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan untuk menghasilkan instrumen kawal selia seperti kod teknikal serta prosedur operasi standard (SOP) mengenai keselamatan dan perlindungan data berteraskan tanda aras antarabangsa.
“Pematuhan terhadap instrumen yang dibangunkan bersama ini adalah penting bagi menjamin kestabilan dan keseragaman perkhidmatan awan untuk mewujudkan persekitaran yang dipercayai (trusted environment) dan terjamin,” katanya.
Annuar berkata adalah penting untuk perkhidmatan awan dikawal selia bagi menjamin keselamatan data, privasi data, perlindungan data dan aliran data pengguna di dalam perkhidmatan awan.
Menurutnya, kerajaan melaksanakan strategi cloud first policy yang akan menyaksikan kebergantungan terhadap perkhidmatan awan meningkat dalam urusan seharian rakyat Malaysia selaras dengan pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
MyDIGITAL dilancarkan pada 19 Februari lepas itu dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan bakal menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. – Bernama, 15 Oktober, 2021.
Komen